SETIAP bulan, ada beberapa hari tertentu kaum Hawa tidak dapat menunaikan solat disebabkan uzur. Begitu juga dengan al-Quran yang ditinggalkan sementara sehingga mereka benar-benar suci daripada hadas besar. Persoalannya, bolehkah golongan wanita berhadas besar itu membaca ayat-ayat al-Quran yang menjadi kelazimannya saban hari seperti bacaan tiqa qul sebelum tidur? Menjawab soalan itu, majoriti ulama melarang wanita membaca al-Quran dalam keadaan haid. Itu merupakan pandangan ulama Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Adapun, sebahagian ulama Mazhab Maliki membenarkannya di samping belajar dan mengajarkan al-Quran. Sementara Imam Ibnu Munzir, al-Syaukani dan al-San’ani berpandangan, jika wanita yang menghafaz al-Quran dan ingin mengulangi hafalan, maka dia diharuskan membaca al-Quran untuk mengulangi hafalan. Imam al-Nawawi pula menyatakan, ia hanya boleh dibaca dalam hati sahaja tanpa menggerakkan lidah. Jika ayat al-Quran yang berbentuk zikir harian sebagai bacaan doa, maka ia diharuskan. Ia seperti bacaan Innalillahi wainna ilaihi rajiun pada Surah al-Baqarah, ayat 156, membaca tiga qul sebelum tidur dan selainnya selagi mana ia merupakan zikir ataupun doa, maka ia diharuskan. Pandangan yang mengharuskan itu merupakan pendapat Imam al-Baghawi dan al-Rafie seperti dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmuk. Maka, diharuskan membaca al-Quran yang berbentuk zikir dan doa dalam keadaan haid. ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis. Sumber Post navigation Patuh arahan hingga abaikan ibadah Lengkapkan diri dengan ilmu sebelum haji