Program ‘SHOW ADA KELAS’ Bersama Datuk Aznil Nawawi Bantu Kuasai Seni Komunikasi Profesional

Keupayaan menyampaikan idea dengan jelas dan meyakinkan kini menjadi kunci utama kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada kerjaya korporat, perniagaan mahupun penciptaan kandungan digital. Menyedari kepentingan ini, ikon penyiaran tersohor negara, Datuk Aznil Haji Nawawi, bakal mengendalikan program komunikasi eksklusif bertajuk “SHOW ADA KELAS The Signature Communication Experience.”

Anjuran Icon Entertainment yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2026 di Plenary Theatre, KLCC, program pembangunan modal insan ini menggabungkan ilmu, demonstrasi, latihan praktikal dan elemen hiburan berdasarkan pengalaman Aznil selama lebih empat dekad dalam industri penyiaran.

Menurut Aznil, program ini tidak bertujuan mengajar peserta cara bercakap semata-mata, sebaliknya membimbing mereka agar menjadi individu yang didengar dan dipilih.

Keyakinan diri adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari, dilatih dan dikuasai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang,” jelas beliau.

Peserta akan mendedahkan kepada lima modul utama yang merangkumi Komunikasi Bermula Dengan Keyakinan, Seni Berkomunikasi Yang Meyakinkan, Executive Presence, Storytelling Yang Berkesan dan Menjadi Individu Yang Dipilih.

Modul berstruktur ini turut membimbing peserta mengatasi kegugupan, menguasai bahasa badan, kawalan suara, penyusunan mesej serta pembinaan penjenamaan diri (personal branding).

Pengasas Icon Entertainment Iman Tang, menambah bahawa pendekatan interaktif dan santai yang mengetengahkan unsur humor ini menjanjikan pengalaman pembelajaran eksklusif yang sukar diperoleh di tempat lain.

Program ini menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, eksekutif korporat, usahawan, pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi serta pencipta kandungan. Tiket mula dijual pada harga RM288 dan RM388, dengan pilihan tambahan untuk E-sijil, Sijil Fizikal serta sesi Meet & Greet bersama Datuk Aznil Nawawi.

Bagi individu atau organisasi yang ingin memperkukuh kredibiliti profesional dan kemahiran komunikasi berkesan, “SHOW ADA KELAS” pastinya sebuah platform transformatif yang tidak wajar dilepaskan.