Gabungan mantap COMs. Creative Studio dan AKE Seni janjikan penanda aras baharu festival muzik tanah air dengan ekosistem imersif.

Pentas muzik serantau bakal bergegar di Stadium Merdeka apabila NU FEST 2027 membuka tirainya pada 30 Januari 2027 dengan menghimpunkan barisan pemuzik legenda dan bakat baharu dalam satu pentas mega. Kolaborasi strategik antara COMs. Creative Studio dan AKE Seni ini menghidupkan konsep “Music, Culture & Community” dengan menyatukan pelbagai genre muzik daripada irama rock, pop, alternatif, sehinggalah ke muzik elektronik moden yang dekat di hati generasi masa kini.

Antara tarikan terbesar festival ini ialah persembahan penuh bertenaga selama 90 minit oleh kumpulan pop rock tersohor Indonesia, Nidji, yang bakal membawa peminat bernyanyi bersama menerusi rangkaian lagu popular mereka. Pentas turut dihangatkan oleh kumpulan tempatan kegemaran Gen Z, Masdo, dengan sentuhan muzik retro kontemporari mereka, selain The Changcuters yang membawakan aura perjalanan seni ke-22 tahun mereka dari seberang. Turut melengkapkan senarai persembahan ialah bakat-bakat segar seperti Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja, Monosterio, Band D_Va, serta set rancak daripada komuniti DJ, Beats & Brew.

Penganjur turut merancang beberapa kejutan istimewa termasuk kolaborasi artis dan susunan muzik eksklusif yang hanya dipersembahkan pada hari festival berkenaan. Aspek produksi berdefinisi tinggi, pencahayaan dramatik, dan sistem audio bertaraf dunia turut menjadi keutamaan bagi memberikan pengalaman muzik secara langsung yang sukar dilupakan. Tiket awal bagi zon berdiri mula dijual pada harga RM88, menjadikannya festival muzik paling dinanti-nantikan untuk membuka tirai tahun 2027.