Menjelang Pelancaran Siri vivo X500 pada 27 Oktober, vivo Malaysia Umum Jay Chou sebagai Duta Pengimejan Rasmi

Vivo Malaysia secara rasmi mengumumkan ikon Mandopop terkemuka, Jay Chou, sebagai Duta Pengimejannya menjelang pelancaran rasmi siri vivo X500 di Malaysia pada 27 Oktober ini. Menampilkan model mercu vivo X500 Pro Max, gandingan ini menyatukan sentuhan muzik Jay Chou yang telah merentasi generasi dengan dedikasi vivo dalam membantu pengguna merakam detik-detik penting dalam hidup mereka menerusi fotografi pintar berkualiti tinggi.

Kerjasama ini bukan sekadar kemunculan biasa di hadapan kamera, sebaliknya berpaksikan minat seni Jay Chou yang mendalam terhadap dunia pengimejan. Berbekalkan pengalaman mengarahkan video muzik dan minat dalam seni foto, beliau sering menggabungkan elemen melodi dengan penceritaan visual yang beremosi. Seperti yang dikongsikan dalam temu bual bersama Vogue Hong Kong, beliau melihat pengarahan sebagai wadah merealisasikan idea artistiknya, manakala fotografi pula merupakan ekspresi kreativiti harian. Dimensi peribadi ini dizahirkan melalui pelbagai kandungan kreatif, bermula daripada video unboxing vivo X500 Pro Max, kempen nostalgia berinspirasikan lagu legenda “Sunny Day”, sehinggalah filem pengembaraan baharu yang mengajak peminat meneroka detik-detik menarik dalam kehidupan mereka.

Sebagai seorang penghibur pentas, kehadiran Jay Chou memperkukuh reputasi siri vivo X500 sebagai The Ultimate Concert Phone. Model mercu vivo X500 Pro Max dilengkapi sistem kamera canggih yang menggabungkan lensa telefoto ZEISS APO 200MP bersama vivo ZEISS Telephoto Extender Gen 2 Ultra dengan jarak fokal setara 400mm. Keupayaan ini membolehkan pengguna merakam ekspresi wajah artis dan suasana pentas secara dekat serta tajam walaupun dari tempat duduk jarak jauh. Pengalaman konsert dipertingkatkan lagi dengan ciri pintar “Auto Framing Fancam Video” yang memastikan subjek sentiasa berada di tengah bingkai, serta teknologi “Super Stage AF Tracking Video” yang mengekalkan fokus tepat pada pergerakan artis yang pantas di atas pentas. Barisan siri ini turut disempurnakan dengan kehadiran vivo X500 Pro dan vivo X500 yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan pencipta kandungan mudah alih.

Bagi meraikan pelancaran ini, vivo Malaysia kini membuka sesi pra-tempah untuk siri vivo X500 dengan menawarkan ganjaran eksklusif bernilai keseluruhan sehingga RM4,300. Pakej promosi ini merangkumi rebat tunai sehingga RM1,000, faedah keahlian vivo Store bernilai sehingga RM2,460 apabila log masuk, serta potongan tambahan RM150 menggunakan SPayLater. Lebih menarik lagi, setiap pra-tempahan turut melayakkan pengguna menyertai cabutan bertuah untuk memenangi tiket konsert Jay Chou “Carnival II” World Tour 2027 di Malaysia.