
Industri muzik tempatan terus diwarnai dengan kehadiran bakat baharu apabila kumpulan pop rock asal Melaka, SIMPUNK, melangkah masuk ke arena muzik tanah air menerusi pelancaran single debut mereka yang berjudul “Terbang”.
Naskhah ciptaan komposer Myra Bruno ini diedarkan secara digital di bawah label rakaman berpengalaman, Luncai Emas Sdn Bhd. Membawa semangat genre pop rock yang segar, “Terbang” menzahirkan tema tentang kebebasan jiwa, mengejar impian, dan keberanian melepaskan perkara yang mengekang diri demi memulakan perjalanan hidup yang lebih jauh di hadapan. Naskhah ini bukan sekadar luahan melodi pop rock bertenaga, malah menjadi manifestasi suara anak muda yang enggan terus dibelenggu keraguan demi mengejar masa depan yang lebih cerah.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2025 ini dianggotai oleh lima anak muda iaitu Afiq Bruno selaku vokalis, Aniq (gitaris), Noh Slash (gitaris), Wan Gegau (pemain bes), dan Nabil (pemain dram). Menariknya, kehadiran Wan Gegau sebagai pelakon dan pelawak popular yang cukup sinonim dengan tagline “Nampaktakk” sebagai pemain bes memberikan daya tarikan serta dinamik tersendiri kepada kumpulan ini. Sebelum melangkah ke pasaran rakaman arus perdana, SIMPUNK sudah aktif mengasah bakat menerusi siri persembahan secara langsung di sekitar Melaka serta pelbagai pentas serata Malaysia.
Menurut vokalisnya, Afiq Bruno, muzik bukan sekadar penghasilan lagu semata-mata, sebaliknya medium penceritaan yang merangkumi kisah persahabatan, perjuangan, dan dorongan semangat untuk terus melangkah walau berdepan laluan berliku. Kerjasama bersama Luncai Emas dilihat sebagai peluang berharga dalam membuka lembaran kerjaya mereka untuk mewarnai industri muzik tempatan. Lagu “Terbang” kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, dan KKBOX, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas.











