Pukau juri menerusi kawalan vokal dinamik dan penghayatan emosi luar biasa, buktikan kehebatan selepas saringan ketat lebih 200 peserta seluruh negara.

MELILEA International Group of Companies terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan modal insan menerusi kejayaan penganjuran pertandingan pencarian bakat, Bintang Suara MELILEA 2026. Berlandaskan slogan ‘IMPIAN ANDA · SUARA ANDA · MASA DEPAN ANDA’, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dirangka khusus untuk mencungkil, membimbing, dan membuka peluang pentas profesional kepada generasi muda dalam bidang muzik dan seni persembahan. Selepas menyaring lebih 200 penyertaan dari seluruh negara, seramai 19 finalis terbaik berentap di pentas akhir di MELILEA Tower, Bangsar South, disaksikan lebih 700 penonton.

Pentas akhir menyaksikan Muhammad Heyqal Misnin dinobatkan sebagai juara selepas memukau barisan juri menerusi lagu Oscar Winning Tears, membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000, dan baucar produk bernilai RM2,000. Naib Johan dimenangi oleh Muhammad Hadi Hafsham Hanapi, manakala tempat ketiga diraih Ema Fazuana Mehat. Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, bersama Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan, Datuk Prof. Dr. Stella Chin, hadir menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang termasuk 14 penerima Anugerah Kecemerlangan.

Datuk Prof. Dr. Alan Wong menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan falsafah korporat syarikat iaitu ‘Transforming Lives’ serta visi ‘Transforming People’s Lives, Transforming The World’. Beliau menekankan bahawa Malaysia memiliki ramai penyanyi berbakat yang memerlukan platform tepat untuk berkembang. Program ini bukan sekadar medan persaingan merebut hadiah, malah berfungsi membina jati diri, meningkatkan keyakinan, dan mempersiapkan belia mengharungi masa depan yang lebih bermakna menerusi sokongan serta bimbingan yang sewajarnya.