Drama ini menampilkan kekuatan lakonan tiga teraju utama tanah air iaitu Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han, dan Izzue Islam sebagai Remy. Ekin digambarkan sebagai seorang wanita yang berdepan titik terendah dalam hidup selepas keluar daripada perkahwinan toksik bersama Remy, sehingga terpaksa bermula dari sifar apabila sumber kewangannya disekat. Daripada seorang suri rumah yang kehilangan identiti, naskhah ini memperlihatkan fasa transformasi Ekin yang perlahan-lahan bangkit menjadi usahawan berdikari, sambil bergelut dengan perebutan hak penjagaan anak dan stigma masyarakat terhadap status ibu tunggal. Menurut Jamal Khan, keunikan Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar pada pencarian cinta baharu, tetapi bagaimana manusia belajar daripada kesilapan lalu dan berusaha membetulkannya. Walaupun mengupas isu yang berat dan sensitif, karya ini diadun seimbang dengan elemen humor, romantik, dan sisi kemanusiaan agar terus dekat di hati audiens. Ketiga-tiga watak berjaya diterjemahkan secara organik, mencerminkan pertembungan karakter yang kontras antara lelaki bersikap manipulatif (red flag) dan lelaki yang hadir memberi sokongan penuh rasa hormat (green flag). Bagi Zara Zya, membawakan karakter Ekin menuntut penghayatan yang teliti agar proses kebangkitan watak tersebut kelihatan natural tanpa perubahan mendadak. Ekin bukan wanita yang tiba-tiba menjadi kebal, sebaliknya melalui fasa trauma yang mengubah pandangannya terhadap maruah diri sebagai seorang isteri, ibu, dan individu berdikari. MK K-Clique pula memilih pendekatan lakonan yang jujur dan tulus bagi menghidupkan watak Han yang berjiwa matang walaupun berusia lebih muda, manakala Izzue Islam mendalami psikologi watak Remy agar lakonan antagonisnya tampil bersahaja dan meninggalkan impak mendalam kepada penonton. Kemunculan cinta baharu antara Ekin dan Han turut melontarkan persoalan kepada masyarakat sedia menerima hubungan cinta dengan jarak umur berbeza sebagai peluang kedua, atau sekadar menjadikannya modal untuk menghukum wanita. Melengkapkan kemeriahan pelancaran drama ini, jenama Mentos Yes To Fresh turut hadir sebagai penaja rasmi dan rakan kolaborasi kempen bersama iQIYI dalam memperkasakan kandungan tempatan berkualiti. Gandingan emosi, air mata, dan kecekalan hidup menjadikan Sekali Lagi, Bahagia sebuah naskhah wajib tonton, eksklusif di iQIYI dengan 12 episod. Post navigation Bakal beraksi di pentas Singapura 5 Disember ini, kumpulan legenda remaja tanah air bukti relevansi dan keutuhan legasi muzik selepas lebih 20 tahun. Nafas Baharu Puteri Santubong Bakal Menggegar Pentas Istana Budaya