Industri muzik tempatan bakal menyaksikan kemunculan bakat baharu apabila Ku Faiz memperkenalkan single debut berjudul “Jurang Takdirku”, sebuah karya balada moden yang sarat dengan emosi dan mesej mendalam. Lagu tersebut mengetengahkan kisah cinta yang terpaksa dipendam akibat jurang kehidupan yang memisahkan dua insan, sekali gus menawarkan tema yang dekat dengan realiti dan pengalaman pendengar. Ku Muhammad Faiz bin Ku Zulrushdi, atau lebih dikenali sebagai Ku Faiz, merupakan penyanyi berusia 25 tahun yang berasal dari Alor Setar, Kedah. Selain bergelar penyanyi baharu, beliau kini berkhidmat sebagai penjawat awam di Majlis Amanah Rakyat (MARA). Sebelum memulakan langkah sebagai penyanyi rakaman, Ku Faiz terlebih dahulu mencuba nasib dalam beberapa program televisyen termasuk Ceria Popstar dan All Together Now serta pernah muncul sebagai tetamu dalam program Motif Viral. Bakat vokalnya turut mendapat perhatian menerusi platform media sosial, khususnya TikTok, apabila persembahannya membawakan lagu “Roman Cinta” mencetuskan perhatian ramai dan meraih ribuan tontonan. Populariti tersebut kemudiannya membuka peluang kepada Ku Faiz untuk membuat persembahan di pelbagai majlis rasmi dan konsert yang turut dihadiri tetamu kenamaan, termasuk menteri serta tokoh korporat. “Jurang Takdirku” menampilkan melodi yang mudah diingati, lirik yang dekat dengan kehidupan serta susunan muzik berkonsepkan balada moden. Gabungan elemen tersebut diharap mampu menyentuh emosi pendengar dan memperkenalkan identiti Ku Faiz sebagai seorang penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik Dearlynnns, yang turut menghasilkan beberapa karya seperti “Bertahan Denganmu”, “Sengketa Asmara Luka”, “Meriah Hari Raya” dan “Tanpa Relaku”. Menurut Dearlynnns, lagu tersebut telah dicipta sejak 2024 dan beberapa penyanyi sebelum ini pernah mencuba untuk membawakannya, namun beliau merasakan karakter vokal yang dicari hanya ditemui selepas bertemu dengan Ku Faiz pada 2026. Menurutnya, walaupun melodi asal lagu tidak dicipta secara khusus berdasarkan julat vokal tinggi Ku Faiz, susunan melodi sengaja dihasilkan supaya lebih mudah dinyanyikan. Pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan menghasilkan lagu yang menarik untuk didengar, malah membolehkan karya berkenaan lebih mudah dibawakan oleh peminat yang gemar berkaraoke. Bagi Ku Faiz pula, peluang menerusi “Jurang Takdirku” merupakan satu kepercayaan besar yang diberikan kepadanya oleh pihak label. Beliau menyifatkan lagu tersebut mempunyai kekuatan melodi dan jalan cerita yang mudah difahami, selain berjaya menarik perhatiannya sejak pertama kali mendengar demo yang dihantar oleh produser, Tam Ali. Pihak Luncai Emas turut melihat “Jurang Takdirku” sebagai karya yang bersesuaian dengan karakter vokal Ku Faiz. Selepas mendengar demo dan menjalani proses perbincangan bersama pihak berkaitan, Luncai Emas bersetuju menerbitkan lagu tersebut sebagai langkah permulaan perjalanan Ku Faiz dalam dunia rakaman profesional. Sebagai pendatang baharu, Ku Faiz berharap kemunculan single sulung ini mendapat sokongan daripada peminat muzik Malaysia. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak label, produser, komposer dan penulis lirik yang memberikan peluang untuknya mengetengahkan bakat serta memulakan perjalanan seni secara rasmi. Kisah “Jurang Takdirku” turut diterjemahkan menerusi video muzik rasmi yang boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment. Lagu tersebut juga tersedia di pelbagai platform penstriman digital utama, manakala visual yang dramatik dan menyentuh perasaan diharapkan dapat menguatkan lagi penceritaan serta emosi yang dibawa menerusi karya sulung Ku Faiz. Post navigation TV ALHIJRAH TONJOL EKSPLORASI DAN WARISAN ISLAM AFRIKA SELATAN MELALUI “BEYOND THE ROAD” Reality Club Sambut 10 Tahun Perjalanan Muzik dengan Konsert di Zepp KL November Ini