KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2026 – Manforce Group Berhad (“Manforce” atau “Kumpulan”), penyedia perkhidmatan pengurusan pekerja asing, buruh manual serta penyelesaian pengurusan asrama yang komprehensif, berjaya memperoleh kontrak selama tiga tahun bernilai kira-kira RM3.4 juta daripada Orgabio Manufacturing Sdn. Bhd. (“Orgabio Manufacturing”), anak syarikat milik penuh Orgabio Holdings Berhad (“Orgabio”).

Kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Manforce, Manforce Resources (M) Sdn. Bhd., bagi menyediakan perkhidmatan mobilisasi serta pengurusan harian seramai 120 pekerja asing yang akan menyokong operasi pengeluaran Orgabio Manufacturing.

Tempoh pelaksanaan kontrak dijangka berlangsung selama 36 bulan, tertakluk kepada kelulusan kuota pengambilan pekerja asing oleh pihak berkuasa berkaitan. Nilai sebenar kontrak pula bergantung kepada jumlah pekerja yang ditempatkan serta skop perkhidmatan yang digunakan sepanjang tempoh perjanjian.

Menerusi kontrak ini, Manforce akan menguruskan keseluruhan kitaran pekerjaan tenaga kerja asing, termasuk urusan permohonan dengan agensi kerajaan dan imigresen, pembaharuan permit kerja, pemeriksaan kesihatan, penyediaan penginapan, pengangkutan serta kebajikan harian pekerja.

Pendekatan bersepadu ini membolehkan pelanggan menyerahkan sepenuhnya urusan pengurusan tenaga kerja kepada Manforce, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk memberi tumpuan kepada operasi perniagaan teras. Pada masa yang sama, semua aspek berkaitan dokumentasi, pematuhan undang-undang buruh dan imigresen Malaysia serta kebajikan pekerja dapat diuruskan dengan lebih sistematik dan teratur.

Pengarah Urusan Manforce Group Berhad, Dato’ Wong Boon Ming berkata, kontrak tersebut merupakan satu perkembangan positif buat syarikat, khususnya selepas penyenaraian Manforce di Pasaran ACE, selaras dengan usaha memperkukuhkan portfolio perkhidmatan pengurusan tenaga kerja yang menjana pendapatan berulang.

Menurut beliau, pengurusan pekerja asing bukan sekadar membekalkan tenaga kerja, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek penting seperti dokumentasi, pembayaran gaji, penyediaan penginapan, pengangkutan, kebajikan pekerja serta pematuhan terhadap keperluan kawal selia. Beliau berkata, Manforce berperanan menyelaraskan semua keperluan tersebut di bawah satu penyelesaian yang menyeluruh supaya pelanggan dapat memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pengembangan perniagaan mereka.

Sekiranya tiada sebarang keadaan luar jangka, kontrak ini dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan sesaham serta aset bersih Manforce bagi tahun kewangan yang berakhir pada 28 Februari 2027.