KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Karya tempatan terus mencipta kejayaan apabila filem Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike serta program realiti drama masakan Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton berjaya meraih tujuh pengiktirafan di MARKies Awards Malaysia 2026. Pencapaian membanggakan ini membuktikan keupayaan kandungan hiburan tempatan dalam menghasilkan kempen pemasaran kreatif yang bukan sahaja menarik perhatian penonton, malah mampu memberikan impak positif kepada jenama melalui pendekatan penceritaan yang dekat dengan masyarakat.

MARKies Awards Malaysia, anjuran MARKETING-INTERACTIVE, merupakan antara anugerah pemasaran dan pengiklanan berprestij yang mengiktiraf kempen paling kreatif, inovatif dan berkesan di Malaysia. Pengiktirafan yang diterima oleh karya-karya ini merangkumi aspek kreativiti, penggunaan media, strategi pemasaran serta keberkesanan kempen dalam membina hubungan lebih kukuh antara jenama dan pengguna.

Filem Malam Terlarang dan Abah Saya Uncle Mike merupakan terbitan Astro Shaw yang dihasilkan menerusi kerjasama bersama rakan strategik masing-masing. Kempen Wonda Coffee untuk filem Malam Terlarang menerusi tema “Stay Strong at Malam Terlarang” berjaya memenangi dua anugerah perak dalam kategori Most Creative Immersive Brand Activation dan Most Effective Use Digital. Sementara itu, kempen 7UP x Mirinda untuk filem Abah Saya Uncle Mike menerusi “The Story That United a Nation: Driving 23% Sales Growth” mencipta kejayaan lebih besar dengan meraih dua anugerah emas, satu perak dan satu gangsa dalam pelbagai kategori pemasaran kreatif.

Selain itu, program realiti drama masakan Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton terbitan Astro Gempak bersama Goodday turut menerima pengiktirafan apabila memenangi anugerah perak bagi kategori Most Effective Use Events menerusi kempen “How Goodday Was First to Turn Stories to Stalls, Driving +23% Sales”. Kejayaan ini menyerlahkan keberkesanan pendekatan menggabungkan hiburan, pengalaman pengguna dan strategi pemasaran dalam mencipta hubungan lebih bermakna dengan penonton.

Pencapaian tujuh anugerah ini mencerminkan perubahan landskap industri kreatif tempatan yang kini menjadikan kandungan hiburan sebagai platform strategik untuk membina nilai jenama. Melalui gabungan penceritaan, kreativiti dan pemahaman terhadap citarasa pengguna, karya tempatan berupaya menjadi medium yang lebih berkesan untuk menyampaikan mesej pemasaran serta mencipta pengalaman yang diingati.

Kejayaan di MARKies Awards Malaysia 2026 turut mengukuhkan kedudukan Astro Shaw dan Astro Gempak sebagai rakan strategik dalam membangunkan kempen berimpak tinggi yang menghubungkan budaya tempatan, kreativiti dan keperluan jenama. Ia membuktikan bahawa kolaborasi antara industri hiburan dan pemasaran mampu menghasilkan pendekatan baharu yang relevan dalam menarik perhatian penonton serta pengguna masa kini.