Selepas agak lama memperlahankan langkah dalam dunia muzik dan hanya hadir dengan sebuah single sepanjang tahun lalu, Dikta akhirnya kembali menyapa peminat menerusi pelancaran EP terbaharu berjudul “Unapologetic” pada 15 Mei 2026. Karya yang memuatkan enam buah lagu itu bukan sekadar menandakan kemunculan semula penyanyi berkenaan, malah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya dengan pendekatan yang lebih peribadi, jujur dan berani. Menurut Dikta, “Unapologetic” dipilih sebagai judul kerana ia paling tepat menggambarkan keseluruhan emosi dan tenaga yang dicurahkan sepanjang proses pembikinan EP tersebut. Dia mengakui memberikan komitmen sepenuhnya terhadap projek berkenaan tanpa sebarang rasa ragu atau penyesalan. Semangat itu juga diterjemahkan melalui pilihan muzik, penulisan lirik dan tema yang lebih dekat dengan dirinya sendiri. Menampilkan sisi muzik yang jarang diterokai sebelum ini, EP tersebut memberi ruang kepada Dikta untuk bereksperimen dengan warna bunyi yang selama ini hanya tersimpan sebagai keinginan kreatif. Walaupun tidak keseluruhannya bersifat eksperimental, “Unapologetic” jelas membawa identiti yang berbeza berbanding karya-karya terdahulu. Daripada enam lagu yang dimuatkan, ‘Stop Bilang Iya’ dipilih sebagai fokus utama. Lagu tersebut mengetengahkan isu people pleaser dan mengajak pendengar untuk lebih berani mengutamakan diri sendiri. Melalui mesej yang ringkas namun dekat dengan realiti ramai individu, Dikta mahu menyampaikan bahawa berkata “tidak” bukanlah satu kesalahan. Lebih menarik, keseluruhan proses pembikinan EP ini disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan sahaja. Walaupun berdepan tekanan masa, jadual padat serta cabaran produksi yang bertindih dengan musim perayaan, pengalaman tersebut menjadi antara momen paling mencabar namun menyeronokkan buat dirinya. Kini, selepas melalui fasa pencarian arah muzik yang sebenar, Dikta menganggap “Unapologetic” sebagai jawapan kepada identiti seni yang ingin terus dibawanya pada masa akan datang. Post navigation Peterpan Kembali Gegarkan Malaysia, Konsert Nostalgia Paling Dinanti 2026 DISAGREE KEMBALI GEGARKAN INDUSTRI MUZIK DENGAN SINGLE BAHARU SELEPAS LEBIH SEDEKAD