
Hari ini menandakan sambutan ulang tahun ke-24 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sejak penubuhannya pada 16 April 2002, SSM terus memainkan peranan penting sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara, berpaksikan aspirasi untuk menjadi institusi terunggul dalam bidangnya.

Kejayaan yang dikecapi sepanjang tempoh ini adalah hasil komitmen tinggi serta profesionalisme seluruh warga SSM dalam memperkukuh amalan tadbir urus korporat agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Bersempena ulang tahun ke-24 ini, SSM memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026:
i. Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Dokumen Statutori
Inisiatif ini memberi peluang kepada syarikat yang menghadapi kesukaran pematuhan di bawah Akta Syarikat 2016 untuk menyelesaikan tunggakan. Antara manfaatnya termasuk pengecualian kompaun tertentu, pengurangan kompaun sehingga 98%, serta mengelakkan tindakan undang-undang.
ii. Skim 1 OKU 1 Perniagaan
Diteruskan bagi membantu usahawan OKU dengan kemudahan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma setiap tahun.
iii. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP)
Tempoh skim dipanjangkan kepada dua tahun, menyasarkan golongan B40 dan pelajar institusi pengajian serta kemahiran.
iv. Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE)
Akan bermula pada 1 Jun 2026, bertujuan memberi ruang kepada warga emas untuk menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan.
Keempat-empat inisiatif ini diharapkan mampu meningkatkan tahap pematuhan korporat, memudahkan urusan perniagaan serta memperkukuh kecekapan dan ketelusan ekosistem perniagaan negara secara keseluruhan.
Sekalung penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh warga SSM atas dedikasi dan sumbangan berterusan. Semoga SSM terus kekal sebagai badan pengawal selia korporat yang berdaya maju dan berintegriti, selari dengan agenda Kerangka Ekonomi MADANI.
Selamat menyambut ulang tahun ke-24 SSM.