Sejauh manakah seorang bapa sanggup menipu demi menyelamatkan nyawa anaknya? Slot Akasia TV3 kini membawakan Bayangan Lelaki Sempurna, sebuah drama penuh emosi yang memaparkan konflik dwi-kehidupan seorang lelaki yang terperangkap antara realiti marhaen dan dunia glamor media sosial.
Naskhah arahan Ejump Mohamad ini menampilkan gandingan mantap pasangan realiti, Adam Lee dan Sweet Qismina. Kisah bermula dengan Ammar (Adam Lee), seorang penjual ikan yang gigih membesarkan anaknya, Aqish, dalam keadaan serba kekurangan. Kehidupan Ammar yang tenang bersama bantuan jiran setianya, Zulin, dan Zara Milda (Sweet Qismina) mula goyah apabila Aqish memerlukan rawatan asma yang sangat mahal.
Desakan hidup memaksa Ammar melakukan transformasi drastik dengan mencipta identiti palsu sebagai “Luth Zafran”, seorang pempengaruh (influencer) yang hidup mewah. Walaupun persona ini membawanya ke puncak populariti dan menarik perhatian Dahlia Rizwani (Riena Diana), Ammar kini dibayangi ketakutan apabila rahsianya mula dikejar oleh kebenaran yang bakal memusnahkan segala-galanya.
Menurut Adam Lee, watak ini sangat mendalam kerana ia menyentuh tentang kasih sayang seorang ayah yang tiada batasan.
“Bagi Ammar, menjadi lelaki sempurna buat anaknya adalah keutamaan, walaupun dia terpaksa hidup dalam kepura-puraan demi memastikan kelangsungan hidup keluarganya.”
Drama 28 episod terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd. ini turut diperkuatkan oleh barisan pelakon hebat seperti Riena Diana, Maya Fathia, Wanns Ahmad, dan Amin Iman.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bayangan Lelaki Sempurna bermula 9 April, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia, TV3. Penonton juga boleh menikmati akses awal dengan menstrim episod baharu 24 jam lebih awal melalui aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my.
Untuk informasi terkini, ikuti media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @dramasangat.