Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) akan menganjurkan acara komuniti berasaskan kesihatan, Karnival Health Living SunMed 2026, pada Ahad, 26 April 2026, dari jam 10 pagi hingga 4 petang di Lobi Menara D, SMC. Bertemakan “Kesihatan Lebih Baik. Kehidupan Lebih Bermakna” (Better Health. Better Life), karnival ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat, penjagaan kesihatan melalui pencegahan, dan kesejahteraan komuniti. Ia juga menyediakan peluang kepada individu dan keluarga untuk mengambil langkah praktikal meningkatkan kesihatan mereka secara menyeluruh dalam suasana menyeronokkan dan interaktif.
Menurut data terkini, tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia memerlukan perhatian serius, terutama berikutan cabaran jangka panjang penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berpunca daripada faktor gaya hidup. Kadar obesiti kekal tinggi, dengan lebih 2.85 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 19 tahun dijangka mengalami berat badan berlebihan atau obes menjelang 2026, selain menjejaskan lebih 32.6% orang dewasa. Peningkatan prevalens NCD seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, dan kanser turut menjadi kebimbangan utama di negara ini.

Selaras dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada bulan April, karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan penjagaan kesihatan melalui pencegahan, pendidikan kesihatan, dan pengamalan gaya hidup lebih sihat. Tan Mei Shin, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC, berkata, “Di SMC, kepentingan pesakit dan komuniti adalah teras utama setiap usaha kami. Melalui karnival tahunan ini, kami ingin memperkasakan rakyat Malaysia agar mengukuhkan imuniti, mengekalkan kecergasan fizikal, dan mengamalkan gaya hidup aktif. Kami berharap pendekatan ini memberi inspirasi kepada individu dan komuniti untuk mengutamakan kesejahteraan diri demi kehidupan lebih sihat dan bermakna.”
Pengunjung akan berpeluang menjalani pelbagai saringan dan penilaian kesihatan yang dikendalikan oleh Pusat-Pusat Kecemerlangan SMC, termasuk Analisis Komposisi Badan, Ujian Glukosa Darah dan Kolesterol, Ujian Tekanan Darah Postural, Ujian Ketahanan Sit-to-Stand, dan banyak lagi. Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan informatif akan disediakan seperti Cabaran Lightning Reflex, Cabaran Pickleball, Marketplace Hidup Sihat, reruai kesedaran kesihatan, pendengaran dan kanser, sesi kuiz, serta segmen cabutan bertuah.
SMC baru-baru ini diiktiraf sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2026, menandakan tahun kedua berturut-turut menerima penghormatan tersebut. Hospital ini turut dinobatkan sebagai Hospital Terbaik (Hospital of the Year) buat tahun kelima berturut-turut, selain menerima anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik (Smart Hospital Initiative of the Year) di Healthcare Asia Awards 2026. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam memacu kecemerlangan klinikal serta memperkukuh reputasi global dalam keselamatan pesakit dan keberkesanan klinikal.
Bagi mereka yang ingin menyertai acara ini, pendaftaran boleh dilakukan melalui laman web: https://sunmedcarnival2026.sunwaymedical.com/