Stadium Merdeka hari ini menjadi tumpuan apabila PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PNBMV) menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Perlawanan ini bertambah meriah dengan penyertaan YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta kehadiran YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad bin Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim yang turut beraksi sebagai pemain sayap kanan berkata bahawa pihaknya mahu Stadium Merdeka terus berfungsi sebagai ruang komuniti yang aktif dan menyatukan masyarakat, bukan sekadar dikenang melalui sejarah sukan semata-mata. Menurut beliau, sebagai tarikan utama dalam presint Merdeka 118, stadium ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia untuk bersukan, beriadah, melakukan aktiviti seperti yoga atau menyertai pelbagai aktiviti komuniti lain. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk hadir merasai sendiri suasana di stadium tersebut.

Stadium Merdeka telah dibuka semula pada 17 Ogos 2024 selepas melalui kerja-kerja pemuliharaan secara menyeluruh. Sehingga kini, stadium ini terus memainkan peranan sebagai ruang komuniti yang aktif dengan penganjuran lebih 200 acara merangkumi bidang budaya, seni, pendidikan, warisan dan sukan. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti akan datang atau penyertaan program dengan mengikuti Instagram Stadium Merdeka di @stadiummerdeka. Sekolah dan organisasi yang berminat untuk menganjurkan acara di Stadium Merdeka juga boleh merujuk maklumat tempahan melalui platform tersebut atau menghubungi stadiums@pnb.com.my.