Adina Charity Circle Gerakkan Kempen “Diapers Donation Drive” Demi Ringankan Beban Keluarga Anak-Anak Kanser

Adina Charity Circle dengan kerjasama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia telah melancarkan kempen kebajikan “Diapers Donation Drive”, sebuah inisiatif bagi mengumpulkan lampin pakai buang untuk membantu kanak-kanak kanser yang memerlukan. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib, Pengarah Strategi & Perniagaan Koperasi Guru Besar Selangor Berhad, sebagai simbolik permulaan kepada usaha murni ini.

Turut hadir memberi sokongan ialah selebriti tanah air Putra Amaris, wakil AlKhair Malaysia Puan Nuraishah Zaidi yang juga Ketua Jabatan Media, serta Yang Dipertua Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Puan Latifah Jalil. Mereka berganding bahu bersama Adina Charity Circle untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan mendesak keluarga kanak-kanak kanser, terutamanya dalam menyediakan keperluan asas harian seperti lampin pakai buang.

Kempen ini berlangsung dari 1 hingga 14 Disember 2025 di Pentas Utama, Kompleks PKNS Shah Alam, bermula jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari. Sasaran kutipan adalah sebanyak 200 pek lampin pakai buang merangkumi pelbagai saiz dan jenis, bagi memastikan setiap keluarga menerima sokongan yang sesuai dengan keperluan anak-anak mereka.

Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi berkata bahawa kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan organisasi tersebut untuk memastikan kanak-kanak kanser mendapat bantuan yang diperlukan. Beliau turut menekankan bahawa penglibatan masyarakat amat penting kerana setiap sumbangan dapat meringankan beban keluarga dan memberikan impak langsung kepada penerima.

YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib turut menyatakan bahawa inisiatif seperti ini amat bermakna kerana ia menyediakan bantuan terus kepada keluarga yang sedang berdepan ujian besar. Menurutnya, keperluan asas seperti lampin pakai buang boleh menjadi satu beban tambahan, dan kempen ini berupaya membantu meringankan tanggungan harian keluarga anak-anak kanser.

Adina Charity Circle turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama termasuk AlKhair Malaysia, Kompleks PKNS Shah Alam, Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Pertubuhan KAB, Biofitrah, Grads, Rumah Ngaji Mekah, The Charms Team dan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS). Sokongan mereka memainkan peranan penting dalam menjayakan program serta memperkukuh jaringan komuniti yang prihatin.

Selain itu, Adina Charity Circle merancang untuk menjadikan “Diapers Donation Drive” sebagai acara tahunan bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak kanser serta keluarga yang memerlukan menerima bantuan pada masa hadapan. Melalui semangat kerjasama dan sokongan masyarakat, program ini diharapkan dapat terus memberi sinar harapan kepada mereka yang sedang melalui cabaran besar dalam kehidupan.