World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur bakal kembali meriah hujung tahun ini apabila Havoc Event & Management Sdn. Bhd. mempersembahkan Havoc Trio Festival 2025, sebuah acara mega yang menghimpunkan tiga segmen utama di bawah satu festival besar Year-End Sale, Food Festival dan Back to School Fair. Berlangsung selama empat hari dari 4 hingga 7 Disember 2025, acara ini dijangka menarik lebih 500,000 pengunjung dari seluruh pelosok negara. Dengan operasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam, festival ini menawarkan lebih 300 pilihan vendor merangkumi makanan tular, produk gaya hidup serta keperluan pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management, Dato’ Firdaus Nadxaman, menyatakan bahawa penganjuran tahun ini membawa nafas baharu dan matlamat yang lebih besar. Menurut beliau, Havoc Trio Festival diwujudkan bukan sahaja sebagai lokasi festival dan jualan, tetapi sebagai ruang yang menghubungkan komuniti usahawan, vendor serta keluarga yang ingin menikmati suasana hujung tahun dalam suasana harmoni dan inklusif.
Edisi kali ini juga tampil lebih istimewa dengan pengenalan segmen Islamik dan kerohanian buat pertama kalinya. Program seperti Malam Mahabbah, sesi pengisian kerohanian oleh pendakwah jemputan, persembahan nasyid serta penampilan artis berteraskan Islamik memberi nilai tambah kepada festival. Inisiatif ini memberi pilihan kepada pengunjung untuk menikmati hiburan sambil memperoleh ketenangan jiwa, menjadikan pengalaman mereka lebih seimbang dan bermakna.

Ketua Pegawai Operasi, En. Faizul Mohd Yusof, turut menegaskan bahawa persediaan teknikal dan keselamatan diberi perhatian penuh supaya pengunjung dapat menikmati festival dengan selesa. Beliau menjelaskan bahawa pasukan Havoc memperkukuh aspek keselamatan, aliran pergerakan pengunjung serta kemudahan untuk vendor, dengan tujuan memastikan semua lapisan umur merasai pengalaman yang positif dari awal hingga akhir acara.
Havoc Trio Festival 2025 turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air seperti Aliff Aziz, Mark Adam, Ruhainies, Risteena Asfan Shah, Syura Badron, Qistina Raisya, Daud Latah, Chef Ammar, Azza Elite, Saharul Ridzwan, Vokey dan Zarina Zainuddin. Penampilan Aliff Aziz yang kembali membuat persembahan di Malaysia menjadi antara daya tarikan utama, mencerminkan keterbukaan penganjur dalam memberi peluang dan menyokong perjalanan baharu para penggiat seni.
Selain persembahan artis, pelbagai aktiviti menarik seperti Food Challenge, Lucky Draw Harian, Happy Hour Sale Countdown, Back to School Giveaway serta persembahan berunsur kerohanian pada waktu malam akan menambah keseronokan festival ini. Pelbagai kejutan turut dirancang setiap malam bagi memastikan pengunjung pulang dengan pengalaman yang berbeza dan menghiburkan.

Sejak mula bertapak pada tahun 2019, Havoc Event & Management Sdn. Bhd. telah dikenali sebagai antara penganjur festival terbesar di Malaysia melalui siri Havoc Food Festival (HFF) yang menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Johor, serta kini berkembang hingga ke Brunei. Dengan lebih 70 siri acara dianjurkan, Havoc terus mengukuhkan reputasinya sebagai pelopor festival berskala besar di rantau ini.
Havoc Trio Festival 2025 mengangkat konsep festival ke tahap baharu dengan memupuk nilai kebersamaan, memperkukuh semangat komuniti dan mencerminkan keunikan budaya masyarakat Malaysia. Ia bukan sekadar penutup tahun, tetapi sebuah simbol harapan dan permulaan baharu yang ingin diteruskan oleh Havoc Event & Management pada masa akan datang.