Buat pertama kalinya, warga Lembah Klang bakal menikmati kemeriahan hujung tahun yang penuh warna menerusi penganjuran GF GALAU Food Festival 2025. Acara lima hari ini dianjurkan oleh Gold Field Holding Sdn. Bhd. dan akan berlangsung dari 27 hingga 31 Disember 2025 di Setia Alam Convention Centre, Selangor. Festival ini menggabungkan dunia makanan, gaya hidup, hiburan muzik dan aktiviti keluarga dalam satu destinasi yang dijangka menjadi tumpuan ramai.
Menurut penganjur, En. Azlisham Yusof selaku Event Manager Gold Field Holding Sdn. Bhd., festival ini bertujuan memeriahkan industri makanan tempatan serta membuka peluang kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk mempromosikan produk mereka menjelang sambutan tahun baharu. Beliau berkata, GF GALAU Food Festival bukan sekadar pesta makanan, tetapi juga platform santai untuk masyarakat berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana mesra dan selamat.
Pihak penganjur menyasarkan kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang tempoh festival berlangsung. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk deretan gerai makanan tempatan dan antarabangsa, pameran produk gaya hidup, persembahan pentas, hiburan keluarga dan konsert artis popular seperti Kristal, Ways, Exceed, Keena Mentor dan Arca Band yang akan menghangatkan pentas setiap malam.

Lebih menarik, sambutan malam penutup pada 31 Disember bakal menjadi kemuncak acara dengan pertunjukan bunga api spektakular bersempena sambutan tahun baharu. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai ganjaran termasuk dua unit skuter EVBike, satu unit Sony PlayStation 5, penghawa dingin, televisyen 50 inci dan beberapa hamper bernilai tinggi.
Festival ini dibuka kepada orang ramai dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari. Dengan gabungan makanan enak, muzik hebat dan aktiviti menyeronokkan, GF GALAU Food Festival menjanjikan pengalaman luar biasa untuk semua lapisan umur. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan hujung tahun yang pasti meninggalkan kenangan manis di Setia Alam.