GGR Motor Terima Kehadiran Pegawai JPJ Wilayah Persekutuan

Usaha GGR Motor untuk menjadi pengeluar motosikal elektrik pertama Malaysia menerima sokongan penuh daripada agensi utama kerajaan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan. Seramai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan yang diketuai Timbalan Pengarahnya Eric Jusiang hadir mengadakan lawatan kerja ke kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada Khamis lalu.

Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara lebih dekat kepada anggota JPJ mengenai proses pemasangan motosikal elektrik selain meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar tempatan pertama motosikal EV. Pengarah Urusan GGR Motor Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi menjelaskan bahawa lawatan tersebut menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal elektrik berjalan mengikut piawaian yang ditetapkan. Ia juga diharap dapat memudahkan pelaksanaan prosedur operasi standard dalam pengeluaran motosikal elektrik agar menepati undang-undang sedia ada.

Kehadiran rombongan JPJ Wilayah Persekutuan itu disambut oleh Pengerusi GGR Motor Tengku Syarif Temenggong Perlis Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail bersama Muhammad Mussaddiq. Sepanjang sesi lawatan, pegawai dan anggota JPJ diberi taklimat mengenai operasi kilang selain meninjau secara langsung proses pemasangan dan pengeluaran motosikal elektrik. Mereka turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis serta bahagian operasi syarikat yang diwujudkan bagi menyokong pembangunan ekosistem kenderaan elektrik.

Dalam perkembangan lain, GGR Motor memaklumkan bahawa motosikal elektrik jenama Lion G1 kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September. Pendaftaran ini membolehkan unit yang ditempah diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat dengan jangkaan melebihi enam ribu unit bakal diagihkan tidak lama lagi. Model Lion G1 merupakan keluaran sulung GGR Motor yang dibangunkan hasil penyelidikan tempatan dan direka khusus untuk pasaran Malaysia dengan penekanan kepada kos mampu milik dan ciri mesra alam.

Kilang GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Penchala sebelum ini dilancarkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN. Usaha ini turut seiring dengan sokongan kerajaan terhadap industri EV melalui pelbagai dasar dan insentif yang membuka ruang lebih luas kepada pengeluar tempatan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.

Pada sidang media pelancaran pertengahan Julai lalu, GGR Motor menyasarkan pengeluaran sehingga tiga puluh ribu unit motosikal elektrik menjelang akhir tahun 2025 selari dengan pertumbuhan permintaan mobiliti elektrik di Malaysia. Sambutan luar biasa terhadap model Lion G1 yang mencatat lebih dua ribu lima ratus tempahan dalam masa seminggu selepas pelancaran menjadi bukti penerimaan rakyat Malaysia terhadap motosikal elektrik sebagai alternatif mobiliti harian.

Permintaan yang tinggi membuktikan motosikal elektrik buatan tempatan mampu bersaing di pasaran dengan kualiti yang baik pada harga yang berpatutan. Bagi memenuhi permintaan tersebut, GGR Motor merancang untuk membina sebuah kilang pemasangan baharu di kawasan utara Semenanjung di atas tapak seluas lebih satu ekar. Kilang itu bakal menjadi hab utama pengeluaran model Lion G1 serta beberapa model baharu yang akan diperkenalkan.

Eric Jusiang (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail (tengah) diiringi Muhammad Mussaddiq (kiri).

Kilang baharu tersebut dijangka membuka lebih lima puluh peluang pekerjaan dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik. Usaha ini turut diperkukuhkan dengan kerjasama strategik bersama PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat serta Petronas Lubricants Marketing Malaysia yang meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan dan rantaian bekalan bagi menyokong pembangunan industri motosikal elektrik di Malaysia.