Hello Bam Bam hadir bukan sekadar sebuah drama, tetapi sebagai sebuah karya CSR yang menyatukan seni dan kesedaran sosial. Dihasilkan oleh penerbit Amy Mazurah dengan kerjasama MFI Group, drama ini mengetengahkan isu kesihatan mental, trauma kanak-kanak dan realiti kehidupan insan terpinggir. Didorong dengan mesej “Hidup Itu Struggle… Tapi Kami Tak Give Up!”, drama ini cuba memberi inspirasi kepada penonton, khususnya generasi muda yang sering berdepan tekanan emosi, buli, serta cabaran identiti.

Menariknya, Hello Bam Bam menawarkan konsep interaktif di mana penonton boleh memilih pengakhiran cerita sama ada berakhir dengan kegembiraan atau kesedihan. Pendekatan unik ini bukan sahaja memberikan pengalaman menonton yang berbeza, tetapi juga menimbulkan refleksi tentang realiti pilihan hidup.

Drama ini turut menggabungkan sokongan daripada artis tempatan, pempengaruh media sosial dan rakan penaja yang mahu bersama mengangkat isu kesedaran mental melalui platform digital TikTok. Antara pihak yang menyokong projek ini termasuk Tourism Johor, Win Win Food Industries (JB), Presgo Gateways (JB), Tiger Base Camp (Johor), Berjaya Waterfront Hotel (JB), Majalah Santai Travel dan Restoran Kopihut. OST drama ini turut dimeriahkan dengan lagu “LUAHAN” nyanyian penyanyi legenda 90-an, Ady Wow.

Dari segi jalan cerita, Hello Bam Bam membawa penonton menyelami kehidupan tiga watak utama Awin (Shafie Naswip), Jojo (Hello Angah), dan Bam Bam (Bang Aji). Awin, seorang khunsa yang dibelenggu penderitaan akibat dera dan buli sejak kecil, cuba membina semula hidupnya selepas diselamatkan oleh Deddy (Diva AA). Pertemuannya dengan Jojo, seorang tomboy yang lantang namun menyimpan luka batin sendiri, membawa mereka kepada Bam Bam, seorang kanak-kanak terbiar yang hampir menjadi mangsa sindiket jalanan oleh ayahnya (Sofi Jikan). Bersama, mereka membentuk keluarga kecil yang penuh kasih sayang meskipun diuji dengan kemiskinan dan kezaliman masyarakat.

Konflik semakin mendalam apabila Black (Kodi Rasheed), majikan lama Jojo yang menyimpan dendam, cuba menghancurkan hidup mereka, manakala Cik Wawa (Maria Farida), tuan rumah yang tamak, menambah tekanan dengan sikap tidak berperikemanusiaan. Namun, melalui semangat juang, sokongan rakan-rakan dan kasih sayang terhadap Bam Bam, Awin dan Jojo terus bangkit melawan cabaran hidup.

Lebih daripada sekadar hiburan, Hello Bam Bam adalah sebuah karya yang berani menyentuh isu sensitif seperti depresi, trauma, kemiskinan bandar, dan diskriminasi sosial. Drama ini mengingatkan penonton bahawa kasih sayang, walau lahir daripada insan yang tidak sempurna, mampu menjadi kekuatan untuk menyelamatkan jiwa dan membuka ruang kepada harapan baharuan hidup.