Filem seram Mantera bakal mengangkat sisi mistik warisan budaya kaum Dusun di Sabah menerusi kisah ritual kuno ‘Bobolian’ figura penting dalam kepercayaan tradisional yang menjadi penghubung antara dunia manusia dan alam roh.
Filem ini diarahkan oleh Chester Pang dan diterbitkan oleh Pro Merge Vision Sdn. Bhd., Mantera menjanjikan pengalaman sinematik luar biasa yang menggabungkan elemen seram, penyiasatan, dan spiritual, sekali gus membuka mata penonton terhadap kepercayaan turun-temurun masyarakat Dusun yang jarang diketengahkan di layar perak.
“Ramai tidak tahu peranan sebenar Bobolian mereka bukan sekadar bomoh, tetapi juga sebagai penjaga keseimbangan antara dunia nyata dan dunia dewa yang dikenali sebagai ‘kinohiringan’. Itulah yang menginspirasikan saya menghasilkan Mantera, bukan hanya sebagai filem seram, tetapi sebagai cerminan budaya yang unik,” jelas Chester.
Mantera menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Syafie Naswip, Namron, Jovenia Jim, Wedylin Batala dan Larry Noh. Cerita ini berkisar tentang Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kebolehan spiritual daripada nenek moyangnya. Apabila roh jahat mula mengganas, Tana bersama Inspektor Zafri harus membongkar kebenaran di sebalik sumpahan silam yang melibatkan entiti misteri bernama Rogon Lupiah.
Chester turut mendedahkan dua insiden menyeramkan berlaku ketika penggambaran dijalankan di Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud. Salah satu daripadanya menyaksikan dua pelakon wanita dirasuk sewaktu babak menyeru roh, manakala seorang kru hampir terkorban selepas jatuh ke dalam gaung akibat ‘tarikan misteri’ insiden yang turut disaksikan oleh Syafie dan Namron sendiri.
“Walaupun berdepan gangguan dan cabaran fizikal, filem ini tetap berjaya diselesaikan. Mantera bukan sekadar hiburan seram, ia juga memperkenalkan satu sisi budaya tempatan yang luar biasa dan belum pernah dikupas secara mendalam,” katanya lagi.
Filem Mantera akan menghantui pawagam seluruh negara bermula 24 April 2025. Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah yang menggabungkan seram, spiritual dan budaya dalam satu naskhah yang penuh misteri dan kejutan.