Bagi menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, penyanyi berbakat Ara Johari tampil dengan single terbaru berjudul Zapin Malam Raya. Berbeza daripada kebiasaan, lagu ini mengetengahkan genre zapin Melayu dengan sentuhan moden, hasil ciptaan Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus.
Lagu ini turut menjadi lebih istimewa dengan kehadiran kumpulan lawak Trio Latah sebagai penyanyi undangan. Menurut Ara, beliau tidak merancang untuk merakamkan lagu raya pada mulanya tetapi selepas bertemu dengan Affan, tercetuslah idea untuk projek ini. “Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menyanyikan sebuah lagu raya yang sesuai dengan jiwa,” katanya.
Salah satu keunikan lagu ini ialah penggunaan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan, sesuatu yang jarang ditemui dalam lagu raya sebelum ini. Liriknya pula berkisar tentang kegembiraan seorang suami apabila dapat pulang ke kampungnya untuk menyambut Aidilfitri.


Bagi melengkapkan pengalaman peminat, muzik video rasmi lagu ini sedang menjalani proses penggambaran dan dijangka dilancarkan pada minggu hadapan. Peminat pastinya teruja untuk melihat bagaimana Ara membawakan elemen tradisional dengan gaya tersendiri.
Zapin Malam Raya boleh mula didengarkan di semua platform digital bermula 19 Mac menerusi edaran Universal Music Malaysia. Jangan lupa masukkan lagu ini dalam senarai main raya anda!