Tahun 2025 bakal dimulakan dengan sebuah persembahan muzik yang luar biasa melalui Konsert Tower of Rock, yang akan berlangsung pada 25 Januari di lokasi ikonik, Menara Kuala Lumpur. Malam epik ini bakal menyatukan tiga nama besar dalam industri muzik rock tanah air, iaitu Barbarik, Cromok, dan Waris, yang akan membawakan persembahan bertenaga dan penuh nostalgia.

Konsert yang menjadi kerjasama antara Menara Kuala Lumpur dan FAR Worldwide ini turut mendapat sokongan Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur (SU.RE Sihat KL) sebagai rakan rasmi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan tajaan daripada jenama kecantikan FARMASI.

Menurut Pengarah Konsert dan Muzik, Man Keedal, konsert ini menawarkan pengalaman berbeza dengan menggabungkan para legenda rock tanah air bersama generasi pelapis. “Barbarik dan Cromok sudah lama dikenali sebagai ikon rock Malaysia, dan kini kita menyaksikan kemunculan Waris, sebuah band yang diusahakan sebagai pelapis generasi muda,” ujar beliau.

Tambah Man Keedal, malam istimewa ini bukan sekadar meraikan nostalgia, tetapi juga memberi peluang kepada Waris untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai penerus legasi Lefthanded. “Waris membawa nafas baharu, termasuk dengan anggota termuda, Adam, yang baru berusia 14 tahun. Malah, beberapa lagu Lefthanded akan diberi interpretasi baru dalam gaya mereka sendiri,” katanya lagi.

Konsert berdurasi hampir tiga jam ini akan dibahagikan kepada tiga segmen, di mana setiap band akan tampil bergilir-gilir menghiburkan peminat. Salah satu segmen menarik adalah persembahan gabungan tiga pemain dram daripada Barbarik, Cromok, dan Waris di pentas yang sama.

Tidak ketinggalan, persembahan instrumental oleh Man Keedal bersama Jo Branko dan Karl dalam medley lagu-lagu popular daripada ketiga-tiga band dijangka menjadi salah satu tarikan utama.

Konsert ini juga merupakan sebahagian daripada kempen kesihatan Rock SU.RE Sihat, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat. Sebanyak lima peratus hasil penjualan tiket akan disumbangkan kepada SU.RE Sihat KL, sebuah inisiatif yang diasaskan pada 2019 untuk menyokong kesejahteraan penduduk ibu kota.

Man Keedal mengakui, kesihatan adalah aspek penting yang dihargai oleh pemuzik legenda. “Untuk menghasilkan muzik berkualiti, kita perlu bebas daripada gaya hidup negatif. Kempen ini adalah bukti bahawa komuniti muzik juga menyokong amalan hidup sihat,” tambahnya.

Promosi konsert dikendalikan oleh Mewah Event Management, manakala pengurusan tiket diuruskan oleh Ilasso Tickets. Tiket boleh didapati di laman web rasmi mereka, dengan harga bermula dari RM188 (Silver), RM288 (Gold), dan RM388 (VIP).

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.ilassotickets.com. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam epik ini yang bakal memulakan tahun 2025 dengan ledakan rock luar biasa!