Edutainment Fest Simpan SSPN Kumpul Lebih 1000 Kanak-Kanak untuk Pengalaman Pembelajaran dan Hiburan

sspn

Jenama terkemuka Portal majalah, PaCMa, Bintang Kecil, dan Keluarga, di bawah Nu Ideaktiv, dengan penuh bangga mempersembahkan Edutainment Fest Simpan SSPN.

Ini adalah acara yang menggabungkan dunia pendidikan dan hiburan dalam satu pengalaman yang tidak hanya menyeronokkan tetapi juga memberi manfaat besar. Dengan sokongan padu daripada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), festival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan kewangan dan simpanan untuk masa depan pendidikan anak-anak.

Festival ini lebih daripada sekadar acara hiburan; ia merupakan platform yang memupuk pengetahuan sambil menyeronokkan. Program ini menawarkan pelbagai bengkel interaktif, aktiviti, dan persembahan yang direka khusus untuk kanak-kanak berumur 0-6 tahun. Setiap aktiviti bertujuan untuk mempromosikan pembelajaran melalui pengalaman yang penuh keseronokan dan kreativiti.

Edutainment Fest Simpan SSPN telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 24 dan 25 Ogos 2024, bertempat di Pusat Beli-belah Datum Jelatek dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Acara ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan untuk merangsang perkembangan minda dan kemahiran kanak-kanak, sambil mengingatkan ibu bapa tentang kepentingan perancangan kewangan melalui sokongan SSPN.

Di festival ini, ibu bapa dan kanak-kanak dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan bersama-sama. Acara ini juga menjadi platform yang ideal untuk mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang lebih cerah melalui perancangan kewangan yang bijak. Dengan pelbagai aktiviti yang menghiburkan dan mendidik, Edutainment Fest Simpan SSPN adalah acara yang tidak boleh dilepaskan!

Sorotan Edutainment Fest:

Himpunan C Perarakan Mega Merdeka: Menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan, perarakan ini menampilkan kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun yang berpakaian seragam berwarna-warni, memancarkan keceriaan dan kegembiraan sambil menyambut hari bersejarah negara kita.

Pelancaran Edutainment Fest Simpan SSPN: Majlis pelancaran ini mengetengahkan kepentingan pendidikan dalam membentuk masa depan anak-anak kita. Disokong oleh Simpan SSPN, acara ini melambangkan dedikasi mereka dalam memupuk generasi muda yang cemerlang. Acara ini akan disempurnakan oleh Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

Pertandingan Mewarna Mega: Mengumpulkan 1,000 peserta kanak-kanak, pertandingan ini menawarkan peluang untuk anak-anak menunjukkan bakat mereka dalam mewarna. Setiap peserta akan menerima medal dan sijil penyertaan, sementara pemenang utama berpeluang memenangi akaun Simpan SSPN serta set mewarna yang menarik.

Merdeka Kids Marathon Catwalk: Saksikan para bintang kecil berusia 1 hingga 3 tahun mempamerkan kreativiti dan gaya mereka di atas pentas. Sepuluh peserta terbaik akan dianugerahkan akaun Simpan SSPN dan baucar istimewa, manakala 20 peserta seterusnya akan menerima hadiah saguhati.

Penampilan Khas Catfluencer: Pengunjung berpeluang bertemu dengan kucing-kucing paling popular di Malaysia bersama pemiliknya. Pelajari tips penjagaan kucing dan nikmati pengalaman unik berinteraksi dengan kucing kesayangan anda di acara ini.

Borak PAsMA Edutainment Fest: Wacana bermanfaat bersama selebriti Syamel dan Ika Nabella membincangkan kepentingan simpanan keluarga dan pengurusan kewangan. Pengunjung akan mendapat tips praktikal dan strategi untuk memastikan masa depan anak-anak mereka lebih terjamin.

Bayi Marathon Race: Pertandingan maraton yang direka khas untuk bayi, menampilkan siri halangan seronok seperti terowong merangkak dan cabaran mencari barang misteri. Acara ini bertujuan memberikan keseronokan dan rangsangan kepada bayi-bayi yang mengambil bahagian.

Konsert Meletop Bintang Kecil: Kanak-kanak pra-sekolah mempamerkan bakat istimewa mereka dalam konsert yang meriah. Acara ini menyediakan platform untuk mengekspresi diri dan menyokong perkembangan sosial anak-anak melalui pertunjukan yang memikat.

Putaran Roda Istimewa Edutainment Fest Simpan SSPN: Pengunjung boleh menyertai Putaran Roda Istimewa dengan membuka atau menambah akaun Simpan SSPN. Pemenang tiket emas berpeluang memutar roda untuk memenangi hadiah menarik seperti akaun Simpan SSPN bernilai RM1000, baucar penginapan, basikal, car seat, mainan, dan banyak lagi!

Antara selebriti yang turut memeriahkan festival ini ialah Uyaina Arshad, Syamel, Haziq Hussni, Mark Adam, Ika Nabella, dan Dr. Tengku Asmadi. Kehadiran mereka menambah kemeriahan acara dan memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada semua pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, “Kami di Ideaktiv berbangga dapat menganjurkan Edutainment Fest ini. Program ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik, memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar sambil bermain.

Dengan sokongan daripada SSPN, kami percaya bahawa program ini akan memberi kesan positif yang mendalam, bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga kepada ibu bapa dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak mereka. Kami berharap agar semua peserta menikmati pengalaman ini dan mengambil manfaat daripadanya.”

Editor Pengurusan, Wan Erni Liza, berkata, “Edutainment Fest adalah bukti komitmen kami untuk menyediakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik. Kami percaya bahawa program ini dapat membantu kanak-kanak mengembangkan potensi mereka dengan cara yang menyeronokkan sambil memupuk kesedaran tentang kepentingan perancangan masa depan. Dengan sokongan daripada SSPN, kami yakin festival ini akan memberikan pengalaman yang bermanfaat kepada semua yang terlibat.”