PropertyGuru Terima Pelaburan S$300M untuk Memajukan Pertumbuhan di Asia Tenggara

Kuala Lumpur- Kumpulan PropertyGuru, syarikat teknologi hartanah atau dikenali sebagai ‘PropTech’ terkemuka di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menerima pelaburan tambahan sebanyak S$300 juta atau AS$220 juta dalam pusingan pendanaan baru-baru ini oleh firma pelaburan global terkemuka TPG Capital dan KKR.

Pelaburan ini diterima pada masa yang luar biasa bagi PropertyGuru dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 24%, PropertyGuru mengatasi ramalan tahun 2019 dan terus menjadi peneraju di Asia Tenggara dengan bahagian pasaran sebanyak 57%. PropertyGuru berada di kedudukan teratas dalam kalangan PropTech di kesemua lima pasaran di rantau ini dengan pasaran-pasaran No. 1 syarikat tersebut: PropertyGuru di Singapura dan Malaysia, Batdongsan.com.vn di Vietnam, DDproperty.com di Thailand, Rumah.com dan RumahDijual.com di Indonesia. Sepanjang tahun lalu, momentum perniagaan dan prestasi kewangan di pelbagai pasaran utama adalah sangat kukuh.

Pendanaan ini akan memacukan strategi pertumbuhan PropertyGuru di semua pasaran terutamanya di mana kumpulan ini meningkatkan pelaburannya untuk memenuhi keperluan yang sentiasa berubah dalam ekosistem hartanah. Dengan adanya sokongan yang berterusan oleh TPG dan KKR, PropertyGuru akan melabur dalam bidang-bidang pertumbuhan strategik yang telah dikenalpasti termasuklah pasaran gadai janji yang dilancarkan pada tahun ini, penyelesaian keupayaan jualan hujung ke hujung bagi pemaju hartanah dan keupayaan data untuk memperkasakan pencari hartanah di serata Asia Tenggara menerusi ‘Find. Finance. Own’.

Olivier Lim, Pengerusi Lembaga Pengarah, Kumpulan PropertyGuru, berkata, “Sejak diasaskan pada tahun 2007, PropertyGuru telah menjadi peneraju dengan sentiasa membawakan peningkatan nilai kepada semua pelanggan dan pengguna. Kami berjaya mendapat tempat di Asia Tenggara dengan begitu cepat kerana menumpukan usaha kami dalam menjangka dan menangani keperluan pengguna melalui strategi berasaskan data di bawah pimpinan pasukan ‘Guru’ yang berbakat. Tahun ini, dalam keadaan realiti perniagaan yang berubah, kekuatan yang ditunjukkan oleh platform kami telah mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pasaran serta membuka peluang baharu untuk memajukan pertumbuhan organik dan inorganik menerusi pelaburan baharu. Sokongan yang lebih kuat dari TPG dan KKR untuk memajukan pertumbuhan adalah suatu pengiktirafan besar terhadap prestasi cemerlang yang dicapai oleh Kumpulan ini, pasukan kepimpinannya dan strategi mereka untuk merintis peluang dalam mencapai aspirasi Kumpulan ini di rantau ini.”

Hari V. Krishnan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Kumpulan PropertyGuru, berkata, “Prestasi kewangan kami yang kukuh sepanjang beberapa tahun yang lalu membolehkan kami membuat pelaburan yang agresif dan bijak, untuk membina sebuah platform teknologi yang bersepadu dan mempunyai kelainan, khusus untuk memenuhi peluang yang tersendiri di pasaran Asia Tenggara. Pelaburan tambahan daripada TPG dan KKR ini akan membolehkan kami meneruskan usaha membina platform keyakinan hartanah bagi Asia Tenggara, serta meningkatkan momentum kami di pasaran-pasaran utama seperti Malaysia dan Vietnam. Kami membantu pencari hartanah mencari pembiayaan untuk kediaman mereka menerusi ‘Find.Finance.Own’ dan pelaburan baharu ini akan memesatkan lagi rancangan pertumbuhan yang telah kami kenal pasti kerana kini lebih ramai pengguna dan pelanggan memanfaatkan penyelesaian digital bagi urus niaga jual beli hartanah. Sepanjang 13 tahun yang lalu, kami membantu mewujudkan industri Prop Tech di rantau ini, dan sebagai peneraju pasaran kami ingin menyediakan lebih banyak lagi inovasi untuk mendigitalkan sektor hartanah.”

Penambahbaikan dan penawaran baharu setakat ini bagi tahun 2020

PropertyGuru yakin bahawa teknologi berfungsi sebagai penghubung dan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh pencari kediaman, oleh itu syarikat ini tidak henti-henti melabur dan mengembangkan perkhidmatannya dalam bidang data dan kelengkapan digital untuk meningkatkan ketelusan dalam ekosistem hartanah bagi pengguna, pemaju dan rakan-rakan ejen di serata Asia Tenggara.

Tahun ini, PropertyGuru terus berkembang dengan melangkah ke bidang pembiayaan perumahan dengan pelancaran pasaran gadai janji di Singapura, ‘PropertyGuru Finance’, serta menjalankan penambahbaikan yang besar bagi pengalaman pencari hartanah di Vietnam. Kumpulan ini mempertingkatkan penawaran untuk menyediakan tinjauan yang dipacu data serta sumber pendapatan tambahan bagi rakan-rakan niaga dikalangan ejen. Bagi pemaju hartanah pula, terdapat penambahan yang ketara pada PropertyGuru FastKey dengan pelancaran PropertyGuru FastKey – StoryTeller – produk digital yang membolehkan lawatan maya 360 darjah yang imersif bagi sesebuah projek, unit-unitnya dan pandangan sekitarnya, untuk mempamerkan dan meneliti hartanah dengan ketersediaan masa sebenar, yang dibawakan terus ke skrin pencari hartanah yang dapat melihat hartanah tersebut dari kediaman mereka sendiri. Penyelesaian ini membolehkan pemaju hartanah memasarkan projek mereka lebih awal lagi, iaitu sebelum pembinaan galeri jualan atau rumah contoh.

Oleh kerana tingkah laku yang diamalkan semasa pandemik menyebabkan pembentukan semula kebiasaan dan keutamaan pengguna dalam norma baharu, transformasi digital menjadi lebih pantas di pelbagai sektor. Menurut laporan terkini oleh Bain & Company dan Facebook, hampir 70% penduduk Asia Tenggara dijangka akan menjadi pengguna digital menjelang penghujung 2020. Landskap yang dinamik ini memperlihatkan peluang pertumbuhan yang baharu dalam pasaran sedia ada PropertyGuru untuk meningkatkan dan meluaskan lagi penawaran kepada para pengguna, ejen hartanah dan pemaju.