Syarikat rakaman Universal Music Malaysia (UM) bersama Faithful Music terus memperkukuh reputasi sebagai peneraju industri muzik tempatan apabila merangkul 10 anugerah pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Kemenangan ini sekali gus mengekalkan kedudukan UM sebagai syarikat rakaman nombor satu di Malaysia.
Antara kejayaan utama yang diraih termasuk Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri dan Ade Govinda, Kulit Single atau Album Terbaik untuk Iman hasil karya Irfan Ramos, Rakaman Lagu Terbaik melalui Aura ciptaan John Jeeves, Album Terbaik untuk Belagu II terbitan Aubrey Suwito edaran UM serta Lagu Paling Tinggi Distrim untuk Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri bersama Ade Govinda.

Album Belagu II yang dipersembahkan Dayang Nurfaizah turut meraih penghargaan besar apabila menerima Dana Kandungan Digital bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures. Hasil kerjasama dengan UM, album ini menambah lagi nilai berprestij kepada kemenangan malam tersebut.
AIM24 juga memberi penghormatan kepada Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan seni beliau selama lebih 30 tahun. Siti turut berkolaborasi dengan UM melalui syarikatnya, SN Legacy dalam penghasilan lagu dan album.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan dedikasi UM dalam mengangkat bakat-bakat tempatan agar mampu menembusi pentas antarabangsa.
Turut bersuara, Ernie Zakri yang membawa pulang dua trofi AIM24 menyifatkan kemenangan ini sebagai hadiah bermakna bukan sahaja untuk dirinya, malah buat seluruh pasukan kreatif yang menjayakan album Aura dan lagu Masing-Masing. Katanya, kejayaan ini membuktikan bahawa muzik Malaysia berupaya merentasi sempadan serantau.
Selain anugerah, AIM24 turut diserikan dengan persembahan memukau daripada artis-artis UM dari Malaysia dan rantau Nusantara. Antara yang mencuri tumpuan termasuk persembahan pembukaan oleh kumpulan sensasi Dolla bersama Tobii dari Def Jam Thailand, gandingan istimewa Ernie Zakri bersama Anggi Marito dari Universal Music Indonesia serta kolaborasi emosional Ernie dengan Ade Govinda dari MyMusic Records.
Dalam pada itu, Faizal Tahir terus membuktikan keunggulannya apabila membawa pulang empat anugerah berbeza. Beliau menang dalam kategori Vokal Duo atau Kolaborasi Terbaik menerusi lagu Campak Bintang duet bersama Datuk M Nasir, Lagu Nasyid Terbaik melalui Biar Satu Dunia Tahu bersama Mirwana, Lagu Perpaduan Terbaik untuk Bendera serta Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok menerusi lagu Santai.

Faizal menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan menekankan bahawa muzik adalah medium serta amanah untuk menyampaikan mesej bermanfaat kepada pendengar. Beliau berharap kejayaan ini mampu memberi inspirasi kepada generasi pencipta muzik baharu bahawa berkarya tidak mengenal batas dan perlu dilakukan dengan penuh keyakinan serta tujuan.
Lebih menarik, AIM24 turut menyaksikan detik bersejarah buat bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi dan Firdaus Rahmat apabila buat pertama kali diraikan di pentas anugerah berprestij ini.