Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sekali lagi mengambil  inisiatif menganjurkan konsert “Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour  2023”

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sekali lagi mengambil  inisiatif menganjurkan konsert “Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour  2023”

Konsert “Hitman: David Foster & Friends Asia World Tour 2023” telah diadakan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, susulan kejayaan penganjuran “Rossa 25th Shining Concert” yang mendapat sambutan hangat di Kuala Lumpur November lalu. Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sekali lagi mengambil inisiatif untuk menganjurkan konsert tersebut. Barisan vokalis antarabangsa termasuk Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred, Katharine McPhee, dan penyanyi terkemuka negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, telah membuat persembahan di konsert ini yang dianjurkan oleh PRIHATIN.

Konsert yang menyaksikan gandingan hebat penyanyi terkemuka di Malaysia  bersama komposer dan pemuzik terkenal bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja  dilihat berpotensi tinggi untuk mengukuhkan nama Malaysia di persada  antarabangsa dan mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dengan negara luar,  malah secara tidak langsung dana kebajikan untuk memperkasakan pendidikan  dalam kalangan pelajar yang memerlukan dapat dikumpul melalui penganjuran  konsert amal berskala antarabangsa oleh PRIHATIN.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, beliau amat bersyukur dan merasa bertuah kerana  diberi peluang dan kesempatan untuk berganding bersama pemuzik dan komposer  terkenal itu. “Saya pernah berkolaborasi bersama David Foster pada sembilan tahun  yang lalu, dan Alhamdulillah, doa saya untuk bergandingan sekali lagi dengan beliau  di atas satu pentas yang sama telah dimakbulkan,” ujar Siti. “Saya juga berasa  gembira dan amat berterima kasih kepada para peminat kerana sentiasa  memberikan sokongan penuh kepada saya dan sudi menyumbang untuk dana  kebajikan di Malaysia melalui Yayasan Prihatin Nasional. Terima kasih juga kepada  PRIHATIN dan B De Paris atas kerjasama yang sangat memberangsangkan dalam  penghasilan konsert ini bagi membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan  secara tidak langsung bagi membantu mereka yang memerlukan,” ujar Figura  Nombor Satu Negara itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin, Dato’ Mohd Aizuddin  Ghazali berkata, “Penganjuran Konsert David Foster & Friends yang menampilkan  Dato’ Sri Siti Nurhaliza ini bakal memberi manfaat buat pelajar Malaysia yang kurang  berkemampuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.

PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya dalam memperkasakan pendidikan Malaysia ke aras yang lebih tinggi  di persada dunia. Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini  yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep  ‘Berhibur Sambil Beramal’ dan saya amat bersyukur dengan penglibatan semua artis  yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket, seterusnya  menyalurkan sebahagian hasil jualan untuk tujuan kebajikan. PRIHATIN turut  berterima kasih kepada pihak korporat, selebriti dan juga orang ramai yang memberi  sokongan penuh melalui pembelian tiket, sekaligus memberi sumbangan kepada  mereka yang memerlukan.”

Turut hadir memeriahkan konsert ini YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah  Ibni Al-Sultan Abdullah Ri-Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, YABhg. Toh Puan  Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd Noor (Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri  Pulau Pinang), YAM Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Mukhriz (Putera DYMM Yang  di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), YAM Tunku Sharifah Khatreena Nuraniah  Tuanku Syed Faizuddin Putra (Puteri kepada DYMM Pemangku Raja Perlis), YAB  Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh (Ketua Menteri Melaka), YB Dato’ Sri Azalina Othman  (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi)  Hawa Rizwana, Nabil Ahmad, Diana Rafar, Sissy Iman dan Fazli Zainal.