World #QuranHour suntik semangat al-Quran

World #QuranHour suntik semangat al-Quran

Program Sinar Live bertajuk “World #QuranHour: Memanusiakan Manusia” menampilkan (dari kiri) Moderator, Marhaini dan Ustaz Safri yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan

Program Sinar Live bertajuk “World #QuranHour: Memanusiakan Manusia” menampilkan (dari kiri) Moderator, Marhaini dan Ustaz Safri yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan

SHAH ALAM – Program World #QuranHour bakal berlangsung pada 13 April bersamaan 22 Ramadan merupakan satu gerakan bagi menyuntik semangat dan menghidupkan gelombang al-Quran dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, bukan hanya berdampingan atau membaca al-Quran tetapi turut diajak bagi memahami dan mengamalkan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.

“Fokus utama kita adalah untuk membantu menukar pemikiran setiap individu dan berubah mengikut al-Quran. Kadang-kadang kita tidak mampu untuk mengubahnya sendiri dan memerlukan bantuan Allah.

“Saya jumpa ramai orang berilmu yang sangat pandai bercakap mengenai perbezaan dan perpecahan namun berlaku pada diri sendiri. Jadi, dengan nilai-nilai al-Quran yang masuk dalam jiwa dapat mengubah sikap dan pemikiran mereka,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Bukan Cakap Kosong bertajuk World #QuranHour: Memanusiakan Manusia yang disiarkan secara langsung di sinarharian.com.my pada Rabu.

Turut menjadi panel ialah Ketua Bahagian Penyelidikan, Pembangunan & Kawalan Kualiti WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein manakala Haizir Othman bertindak sebagai moderator.

World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.

Tambah Marhaini, kalam-kalam Allah akan menjadi solusi setiap permasalahan yang berlaku dalam keluarga dan masyarakat sekali gus membawa jalan ke syurga.

Mengenai pemilihan Surah Al-Insan pada program World #QuranHour 1444H, beliau menjelaskan, ia diamalkan oleh Rasullah S.A.W pada setiap hari jumaat.

“Surah tersebut mempunyai konteks yang sangat luar biasa iaitu bercakap tentang memanusiakan manusia. Kalau kita tengok, ia semakin terhakis pada masa sekarang,” jelasnya.

Sumber