World #QuranConvention: Tidak ramai mahu melabur kepada kandungan Islamik

World #QuranConvention: Tidak ramai mahu melabur kepada kandungan Islamik

SEPANG – Tidak ramai pihak yang mahu melabur untuk memasarkan kandungan berbentuk Islamik, sebaliknya kebanyakan karya itu dikeluarkan atas dasar ihsan semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian Animation Studio Sdn Bhd (DD), Sinan Ismail berkata, kandungan tersebut dianggap sebagai hambar dan membosankan membuatkan pihaknya cuba mewujudkan platform untuk mengubah perspektif berkenaan.

Menurutnya, animasi popular tanah air, Omar dan Hana antara kandungan Islamik terbitan pihaknya sesuai untuk kanak-kanak khususnya Muslim kerana naratif ditapis dan dikawal dengan baik.

“Ini (media kreatif) adalah medium berkuasa untuk menyampaikan sebuah cerita. Jika terdahulu, ia disampaikan melalui ceramah atau buku, kini boleh menggunakan animasi dalam media sekali gus memberi impak yang sangat besar.

“Pendapat saya, kita tiada platform yang kekal dan pelaburan dalam kandungan Islamik. Seperti panelis lain, semua dilakukan dengan ihsan yang pada asasnya dengan kesempurnaan dan profesional setakat kita mampu.

“Oleh itu, animasi ini mendapat liputan terbesar di seluruh dunia bukan sekadar di negara ini,” katanya sebagai panelis Revealed Wisdom & Creative Media sempena World #QuranConvention di sini pada Sabtu.

Sesi Revealed Wisdom & Creative Media di Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA, di sini pada Sabtu. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Sesi Revealed Wisdom & Creative Media di Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA, di sini pada Sabtu. – Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Beliau turut memuji penganjuran World #QuranConvention yang merupakan platform terbaik boleh menerangkan tentang kepentingan media kreatif dalam menyampaikan kisah al-Quran kepada orang ramai.

Segmen berkenaan dihoskan pengarah program, Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat (AS) dengan dua lagi panelis iaitu Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dan Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli ke konvensyen tersebut anjuran Yayasan Warisan Ummah (WUIF) dan Bayyinah Institute.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

World #QuranConvention (WQC) bertemakan Revealed Wisdom & Creative Media merupakan sebuah program berasaskan al-Quran bertaraf antarabangsa buat julung kali diadakan.

Penyertaan melibatkan peserta dari Australia, Belgium, Brunei, Kanada, Jerman, Perancis, Indonesia, India, Mesir, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, Uzbekistan, Nigeria dan Palestin.

Antara penceramah jemputan ialah Imam Besar Masjid Istiqlal, Profesor Dr KH Nasaruddin Umar dan Pengasas Ibn ‘Ashur Centre, Dr Sohaib Hussein.

Sumber