Troli pintar EzyCart bakal digunakan di pasar raya terkemuka

Troli pintar EzyCart bakal digunakan di pasar raya terkemuka

Troli pintar EzyCart mempunyai teknologi seperti imbasan kod bar, pengesahan berat barangan dan gabungan sensor ciri canggih yang dapat mengelak risiko kecurian. - Foto Bernama

Troli pintar EzyCart mempunyai teknologi seperti imbasan kod bar, pengesahan berat barangan dan gabungan sensor ciri canggih yang dapat mengelak risiko kecurian. – Foto Bernama

TROLI beli-belah pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI), EzyCart, yang merupakan produk inovasi tempatan akan digunakan di pasar raya besar terkemuka di Malaysia seperti Redtick, Lotus’s dan Jaya Grocer.

Dibangunkan melalui kerjasama NanoMalaysia Bhd dan penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan AI, Retailetics Sdn Bhd, produk pintar itu mempunyai teknologi seperti imbasan kod bar, pengesahan berat barangan dan gabungan sensor ciri canggih yang dapat mengelak risiko kecurian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, EzyCart itu, yang dilengkapi dengan sistem e-dompet, juga membantu pengguna mencari produk di rak barangan serta menggunakan bahan antibakteria berasaskan teknologi nano bagi memastikan ia sentiasa bersih.

Ditemui selepas pelancaran EzyCart oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Redtick Putrajaya pada Selasa, beliau berkata, NanoMalaysia memperuntukkan dana RM1 juta bagi pembangunan troli tersebut.

Lih Kang (kiri) melancarkan troli pintar EzyCart di Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama

Lih Kang (kiri) melancarkan troli pintar EzyCart di Putrajaya pada Selasa. – Foto Bernama

Buat permulaan, katanya, EzyCart akan diaplikasikan di Redtick Putrajaya dengan sebanyak 10 troli diletakkan di pasar raya itu.

“Kita (NanoMalaysia) juga akan membimbing Retailetics bagi tujuan pemasaran produk sehingga dapat menembusi pasaran rantau Asia Tenggara,” katanya.

NanoMalaysia ditubuhkan pada 2011 sebagai syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan dan perindustrian nanoteknologi menerusi model pembangunan usaha sama. – Bernama

Sumber