Transnusa Indonesia buka laluan baharu Jakarta-Johor Bahru

Transnusa Indonesia buka laluan baharu Jakarta-Johor Bahru

PT TransNusa Aviation Mandiri (TransNusa) dari Indonesia akan memulakan laluan antarabangsa kedua menghubungkan Jakarta ke Johor Bahru mulai 7 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Kumpulan TransNusa, Datuk Bernard Francis berkata, syarikat penerbangannya telah mula menjual tiket untuk laluan baharu itu pada 9 Ogos lepas.

Syarikat penerbangan itu akan memperkenalkan satu penerbangan yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta pada 12.30 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru pada 3 petang.

Pesawat yang sama akan berlepas dari Johor pada 3.30 petang dan tiba di Jakarta pada 4.20 petang waktu Indonesia.

“Masa kami dibuat berdasarkan pelancong dan pengembara yang menjadi sasaran. Oleh itu, kami akan memberi tumpuan bagi menyediakan penumpang dengan opsyen tambahan pada sebelah petang,” katanya dalam satu taklimat media secara maya.

TransNusa akan menggunakan laluan baharu itu lima kali seminggu.

“Memandangkan terdapat permintaan yang sangat rendah pada Selasa serta Rabu, kami akan menjadualkan penerbangan kami pada hari Isnin, Khamis Jumaat, Sabtu dan Ahad,” jelasnya, sambil menambah bahawa menjelang November tahun ini, TransNusa bercadang untuk memperkenalkan satu penerbangan setiap hari bagi laluan tersebut.

Berharga RM199 untuk tiket sehala, tempat duduk TransNusa Airlines adalah antara yang paling berpatutan di pasaran Malaysia.

Syarikat penerbangan itu melancarkan laluan antarabangsa pertamanya dari Jakarta ke Kuala Lumpur pada April tahun ini dan baru-baru ini telah meningkatkan kekerapan penerbangan hariannya daripada dua kepada empat kali sehari untuk menyediakan penumpang berpotensi dengan sebanyak mungkin pilihan penerbangan.

Bernard berkata, TransNusa sedang merancang memperkenalkan laluan ketiga antara Jakarta serta Malaysia, dan pada masa ini, syarikat penerbangan itu sedang mengkaji kemungkinan melancarkan laluan Jakarta-Melaka.

“Pada masa ini, syarikat penerbangan itu sedang menjalankan kajian kemungkinan dan kami akan membuat pengumuman yang diperlukan tepat pada masanya jika semuanya berjalan lancar,” katanya sambil menambah TransNusa mungkin akan memperkenalkan laluan baharu ketiga dari Jakarta ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.

TransNusa telah mencatatkan prestasi ketepatan jadual sebanyak 94 peratus dengan sejumlah 312 penerbangan yang berjaya mulai 23 April hingga 23 Jun 2023.

“Mengenai mengapa terdapat kelewatan sebanyak 6 peratus dalam penerbangan, kelewatan itu tidak dapat dielakkan kerana corak cuaca yang tidak selamat, gangguan lapangan terbang serta trafik yang padat,” katanya.

Bernard menegaskan, walaupun tiket syarikat penerbangan itu agak rendah dan berpatutan, ia tidak bermakna TransNusa merupakan syarikat penerbangan tambang murah.

Beliau berkata, dalam pasaran domestik Indonesia, ia adalah syarikat penerbangan tambang rendah tetapi selepas ia membuat penstrukturan semula pada 10 bulan lepas, TransNusa dengan pengurusan baharu telah memulakan tahun ini sebagai syarikat penerbangan premium untuk penerbangan antarabangsanya.

“Kami mentakrifkan semula diri kami sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan premium di pasaran seluruh dunia kerana kami menggunakan model perniagaan baharu yang menawarkan produk serta perkhidmatan setanding dengan yang dibekalkan oleh syarikat penerbangan komersial perkhidmatan penuh dan lebih baik daripada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tambang rendah,” jelasnya..

Beliau menegaskan, perkhidmatan premium hanya ditawarkan kepada penumpang antarabangsa dan pada masa yang sama, beroperasi sebagai syarikat penerbangan tambang rendah untuk perkhidmatan domestik.

TransNusa memperkenalkan perkhidmatan premium pada suku kedua.

Katanya lagi, sebagai sebahagian daripada tawaran premium, TransNusa akan berlepas dan mendarat di lapangan terbang antarabangsa utama selain menawarkan polisi bayaran balik yang fleksibel, membolehkan penumpang mendapatkan bayaran balik dengan mudah. – Bernama

Sumber