TNB rangkul anugerah emas SSON Asia Impact Awards 2022

TNB rangkul anugerah emas SSON Asia Impact Awards 2022

TENAGA Nasional Berhad (TNB) melalui TNB Global Business Solutions (TGBS) merangkul anugerah emas bagi Pasukan Perkhidmatan Perkongsian Terbaik pada majlis Anugerah Perkhidmatan Perkongsian dan Rangkaian Penyumberan Luar (SSON) Asia Impact Awards 2022.

Syarikat utiliti elektrik nasional itu merangkul anugerah berkenaan pada 19 Oktober lalu, sekali gus mengatasi 11 syarikat gergasi lain termasuk Coca-Cola Japan Business Services, PepsiCo dan Otis Worldwide.

Anugerah tersebut merupakan pencapaian terbaik TGBS yang menempa nama dalam tempoh empat tahun berturut-turut di SSON Asia Impact Awards untuk beberapa kategori bermula tahun 2019.

Sementara, Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim menyifatkan anugerah itu adalah pengiktirafan kepada TNB secara keseluruhannya yang menyokong perkhidmatan diberikan oleh bahagian berkenaan selain komitmen warga kerja TGBS dalam membangunkan perkhidmatan cekap pada tempoh singkat.

“Anugerah ini adalah sebagai bukti dedikasi, usaha dan semangat kerjasama warga TNB bagi mendapatkan hasil yang cemerlang.

“Ini bagi mendukung aspirasi menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada majlis itu, TNB turut dinobatkan antara Top 20 Most Admired Shared Services Organisations (SSOs) & Global Business Services (GBS) 2022 di dunia.

TGBS turut mendapat sebutan penghormatan (honorary mention) bagi kategori ‘Business Transformation Impact Award’ dan ‘Change Management Impact Award’.

Menurut Ahmad Hushairi, kejayaan berterusan dalam penilaian SSON itu mengukuhkan lagi komitmen TNB terhadap agenda pembangunan mampan yang selari kepentingannya terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Pengiktirafan ini juga merupakan satu langkah lagi untuk TGBS meningkatkan nilai menerusi penawaran perkhidmatannya kepada syarikat dan organisasi di luar TNB selain meningkatkan kecekapan dalaman,” ujarnya.

Sumber