TM perkenal pakej Unifi baharu serendah RM99 bagi 100Mbps

TM perkenal pakej Unifi baharu serendah RM99 bagi 100Mbps

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) memperkenalkan pakej jalur lebar Unifi baharu, menawarkan kemampuan lebih tinggi melalui pengurangan harga yang ketara, perkhidmatan gaya hidup tertumpu nilai tambah dan penyelesaian perniagaan bersepadu.

Syarikat telekomunikasi itu menjelaskan pakej baharu Unifi itu bertujuan menambah baik pengalaman pelanggan kepada Internet baharu 100 megabit sesaat (Mbps), yang memberikan pengalaman pengguna terbaik seiring dengan corak penggunaan kebanyakan isi rumah di Malaysia.

TM mengumumkan penurunan harga ketara bagi pelan Unifi 100 Mbps kepada RM99 sebulan, untuk masa terhad sahaja, setanding dengan pelan 30Mbps sebelum ini pada RM89 sebulan — untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kelajuan Internet yang lebih tinggi pada harga lebih rendah.

Semua pelanggan Unifi yang layak akan dinaik taraf secara automatik kepada kelajuan Internet yang lebih tinggi tanpa sebarang obligasi dan kontrak semula perkhidmatan tidak diperlukan.

Peningkatan kelajuan percuma itu akan dilaksanakan bagi pelanggan Unifi yang layak, membuktikan komitmen TM untuk memberikan kelajuan lebih tinggi pada harga lebih rendah kepada semua segmen pelanggan.

Peralihan itu dijangka secara berperingkat mulai kini hingga Januari 2024.

Naib Presiden Eksekutif Unifi, Anand Vijayan berkata pakej baharu itu bertujuan meningkatkan kepuasan pelanggan dan memperluas keterangkuman digital dalam kalangan rakyat Malaysia, menambah baik akses kepada ketersambungan termasuk teknologi 5G di samping peluang digital yang akan memperkasakan aspirasi digital negara.

“Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan penumpuan quad-play (gabungan perkhidmatan akses Internet jalur lebar, televisyen dan telefon dengan pembekalan perkhidmatan tanpa wayar) sebenar negara, Unifi merintis pertumbuhan industri menerusi perkhidmatan jalur lebar tetap, mudah alih, gaya hidup dan penyelesaian perniagaan yang menyeluruh.

“Ini akan memberikan pengalaman digital kediaman dan di mana jua kepada individu, keluarga dan perniagaan kecil,” katanya semasa taklimat media pada Rabu.

Anand berkata Unifi juga akan menawarkan pelan jalur lebar berkelajuan tinggi 100Mbps tertumpu yang digabungkan dengan pelan data mudah alih UNI5G Pascabayar Tanpa Had 5G+4G Unifi — memberikan pengalaman sambungan terbaik di mana-mana, pada bila-bila masa, dan tersedia melalui kontrak tiga tahun.

Beliau berkata tawaran baharu itu turut disertakan dengan telefon pintar 5G percuma — membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima guna dan menikmati keupayaan 5G dengan mudah dalam menangani kebimbangan mengenai kemampuan peranti yang boleh 5G.

“TM terus berusaha sebaik mungkin dalam menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan inovatif yang akan memacu Malaysia ke arah menjadi sebuah negara digital.

“Menerusi usaha sedemikian, Unifi meningkatkan standard bagi jalur lebar berkelajuan tinggi di negara ini, meningkatkan kelajuan di samping menurunkan harga bagi menambah baik akses dan peluang digital untuk semua segmen pelanggan,” katanya.

Dalam memperkasakan keterangkuman digital merentas semua segmen masyarakat, Unifi akan terus menawarkan Pakej Rahmah Unifi untuk kumpulan pelanggan utama dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), komuniti B40 dan veteran.

“Menyokong usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kemajuan digital semua rakyat Malaysia, pelan itu dirangka khas dengan jalur lebar tetap 30Mbps tanpa had pada harga rendah RM69 sebulan,” katanya.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Unifi turut mengumumkan penurunan harga bagi semua tawaran Unifi Biz Fiber daripada 100Mbps kepada 2Gbps.

“Harga yang lebih rendah ini bertujuan menyokong lebih banyak PMKS dalam penerimagunaan digital mereka, memastikan perniagaan ini bukan sahaja dapat bertahan dalam ekonomi digital masa kini malah juga mempunyai setiap peluang untuk berkembang maju,” katanya. – Bernama

Sumber