TH, Saudi Airlines meterai perjanjian penerbangan sewa khas

TH, Saudi Airlines meterai perjanjian penerbangan sewa khas

SAUDIA Airlines (Saudia), syarikat penerbangan Arab Saudi menandatangani perjanjian Penerimaan Tawaran Penerbangan Haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji bagi jemaah haji Malaysia selama tiga tahun.

TH dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Saudia Kapten Ibrahim Koshy, manakala TH pula diwakili Pengarah Eksekutif Hajinya Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Majlis menandatangani Penerimaan Tawaran itu diadakan di Jeddah Superdome, Arab Saudi dan disaksikan oleh Ketua Pengarah Saudia Ibrahim Al Omar, bersempena dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Menurut Ibrahim, sebanyak 50 peratus jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Saudia secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz di Madinah.

Jelasnya, Saudia memberi perhatian besar terhadap sektor haji dan umrah dan telah menubuhkan satu jabatan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat jemaah haji dan umrah.

“Ia juga berperanan untuk menarik kehadiran jemaah, memilih segmen permintaan perjalanan yang tinggi, bekerjasama dengan organisasi dan entiti luar negara yang mengendalikan urusan haji dan umrah untuk rakyat mereka, membuat jadual perjalanan dan menyelaras kelancaran pergerakan dengan pihak berkuasa penerbangan awam Saudi untuk kemudahan semua tetamu.

“Saudia akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan dan pengalaman haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH merupakan satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

Tawaran kepada Saudia untuk menyediakan penerbangan sewa khas bagi jemaah haji Malaysia dari tahun 2022 hingga tahun 2024 itu juga sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.

“Penyediaan penerbangan sewa khas Haji ini adalah usaha berterusan TH dan merupakan salah satu persediaan awal TH bagi membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” tambahnya. – Bernama

Sumber