Tenggiri jeruk dari resipi arwah ibu

Tenggiri jeruk dari resipi arwah ibu

BESUT – Kegigihan seorang wanita mengusahakan produk ikan tenggiri jeruk menggunakan resipi arwah ibu akhirnya berbaloi apabila makanan tersebut mendapat sambutan hangat dari pelanggan di seluruh negara.

Lebih membanggakan, ikan tenggiri jeruk di bawah jenama Surich yang dikeluarkan oleh syarikat bumiputera, SM Rich Collection Enterprise itu turut dijual di rangkaian pasar raya besar di Terengganu, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pemiliknya, Rosuzila Akma Mohamed Nor, 33, berkata, pembuatan ikan tenggiri jeruk mula dilakukan pada tahun 2018 selepas menyedari tidak ramai usahawan Muslim mengeluarkan produk tersebut dalam pasaran walaupun ada permintaan.

“Ketika itu, saya hasilkan pelbagai jenis ikan masin di kilang di Pekan, Pahang bersama suami Ahmad Fadzlan Yusof selepas kematian ibu menggunakan resipi arwah. Namun saya berdepan cabaran getir apabila ikan masin dihasilkan rosak dan tidak menjadi.

“Ini kerana cara proses ikan masin dalam kuantiti banyak di kilang jauh berbeza ketika buat di rumah dengan jumlah sedikit. Saya hampir putus asa namun nasihat dan kata-kata arwah ibu, Zainun Muda mendorong saya bangkit lebih kuat.

“Akhirnya saya mampu tangani masalah itu. Selepas mengolah resipi dan ‘try and error’ selama lebih setahun, saya turut berjaya menghasilkan ikan tenggiri jeruk Surich dalam botol,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Rosuzila Akma, selepas berjaya memperoleh sijil perakuan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), produk keluarannya mula dipasarkan ke pasar raya dan mendapat sambutan baik dari pelanggan.

Rosuzila Akma bersama suami ketika menyertai program memperkenalkan produk keluaran Surich.

Rosuzila Akma bersama suami ketika menyertai program memperkenalkan produk keluaran Surich.

Beliau berkata, peningkatan pengeluaran produk berikutan permintaan tinggi pelanggan menyebabkan beliau mengambil keputusan berpindah ke sebuah kilang terletak di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Besut, Terengganu.

“Di sini, saya mendapat bantuan modal pusingan dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), bimbingan dari LKIM dan bantuan peralatan lalu saya memulakan proses pembuatan produk Surich secara manual,” katanya.

Dibantu oleh empat orang pekerja, pengeluaran ikan tenggiri jeruk Surich kini lebih dari 1,000 botol sebulan.

Selain ikan tenggiri jeruk, Surich turut menghasilkan beberapa produk dari hasil laut lain iaitu sambal garing bilis, sambal garing tenggiri, sambal garing udang, bilis rangup pedas, tenggiri rangup pedas dan pes ikan bakar.

“Kelebihan ikan tenggiri jeruk Surich adalah kami hanya menggunakan ikan segar dengan perut dan insang dibuang serta dicuci sehingga bersih sebelum dijeruk menggunakan resipi istimewa.

“Hasilnya, ikan tenggiri jeruk kami yang halal tidak berbau hanyir, lebih sedap dan mampu buka selera dengan olahan pelbagai jenis masakan,” katanya.

Rosuzila Akma turut merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan sasaran semua produk keluaran Surich berada di seluruh pasar raya terkemuka seluruh negara selain menembusi pasaran antarabangsa.

Rosuzila Akma dan suami menunjukkan pelbagai produk yang dihasilkan di bawah jenama Surich selain ikan jeruk tenggiri.

Rosuzila Akma dan suami menunjukkan pelbagai produk yang dihasilkan di bawah jenama Surich selain ikan jeruk tenggiri.

Jelas beliau, syarikatnya sudah mengambil langkah awal dengan menyertai program cubaan pasaran di Asean Mall Pattani, Thailand sebanyak tiga kali sejak tahun 2019 dengan aktiviti terbaharu pada Disember lalu.

“Alhamdulillah, produk keluaran Surich mendapat sambutan menggalakkan setiap kali kita menyertai program tersebut. Sekarang, saya dalam proses mendaftarkan produk Surich dengan ThaiFDA agar dapat dipasarkan di sana,” katanya.

Sumber