Tambahan RM200 juta dana usahawan di bawah Tekun Nasional

Tambahan RM200 juta dana usahawan di bawah Tekun Nasional

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Khamis mengumumkan dana tambahan sebanyak RM200 juta bagi pembiayaan usahawan informal dan mikro di bawah Tekun Nasional.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, penambahan dana yang bertujuan membantu lebih ramai usahawan informal dan mikro dalam perniagaan mereka itu, menjadikan peruntukan pada tahun ini meningkat kepada RM800 juta.

“Setakat Julai lepas, Tekun Nasional telah menyalurkan RM511.7 juta kepada 28,506 usahawan di seluruh negara dan melihat kepada trend itu, saya telah meminta pihak Tekun Nasional menyemak semula jumlah dana yang diperuntukkan pada tahun ini iaitu sebanyak RM600 juta.

“Jadi kita setuju tambah dana RM200 juta lagi dan menjadikan peruntukan tahun ini meningkat kepada RM800 juta dengan dana tambahan mengguna pakai peruntukan dalaman iaitu hasil kutipan bayaran balik daripada peminjam.

“Semoga pertambahan tersebut dapat membantu lebih ramai usahawan informal serta mikro dalam perniagaan dan sasaran kami lebih 36,000 peminjam mendapat manfaat tambahan dana itu, mereka boleh pinjam antara RM10,000 hingga RM100,000,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ewon ditemui selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Usahawan di Dewan Wisma Al-Ansar Masjid Al Muhajirin di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Tekun Nasional Abdullah Sani Abdul Hamid dan lebih 1,000 usahawan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Ewon berkata sepanjang 25 tahun beroperasi, pelbagai agenda dan program telah dilaksanakan oleh TEKUN Nasional untuk memberi manfaat kepada usahawan informal dan mikro di seluruh negara.

Katanya, Tekun Nasional turut mempelbagaikan produk pembiayaannya bagi memenuhi keperluan dan memberi pilihan kepada usahawan dalam bidang keusahawanan.

“Sejak diwujudkan pada 1998 hingga Julai lepas, Tekun Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 563,442 usahawan dengan nilai RM8.57 bilion di seluruh negara, manakala di Pulau Pinang sebanyak 23,938 usahawan telah menerima manfaat pembiayaan TEKUN Nasional yang berjumlah RM313 juta,” katanya.

Beliau berkata, Tekun Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.

Pada majlis itu, sebanyak 29 usahawan Tekun Pulau Pinang menerima cek pembiayaan dengan jumlah keseluruhan RM460 juta. – Bernama

Sumber