T7 Global puji langkah Petronas kaji semula kontrak vendor

T7 Global puji langkah Petronas kaji semula kontrak vendor

T7 Global Bhd menyifatkan langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengadakan rundingan semula kontraknya dengan vendor sewajarnya dipuji dan tepat pada masanya memandangkan harga minyak mentah yang semakin tinggi.

Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, bidaan kontrak pra-Covid-19 dilindung nilai pada harga masa itu. Bagaimanapun, harga barangan tertentu seperti keluli semasa pandemik telah meningkat dengan ketara dan kos bidaan pula tidak mengambil kira harga produk tersebut.

“Kami rasa bertuah dan memuji langkah Petronas itu kerana sanggup mengkaji dan memikirkan semula harga kontraknya.

“Tindakan seperti ini memberi keadilan kepada kedua-dua belah pihak,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penamaan Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) Bayan di sini pada Khamis.

Nik Norzrul Thani berkata, langkah itu juga menunjukkan sensitiviti Petronas terhadap realiti yang sebenarnya dalam kontrak.

Baru-baru ini, syarikat minyak negara itu berkata ia sedang merundingkan semula kontrak dengan pembekal dan kontraktornya berikutan keadaan harga minyak mentah semasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya sedang melihat strategi kontrak serta akses kepada kewangan dan kumpulan itu akan sentiasa mengambil kira pasaran yang bersaing dengannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila Petronas akan menyelesaikan rundingan semula itu.

Ditanya sama ada T7 Global menghadapi persaingan yang sengit daripada pemain minyak dan gas lain, Nik Norzrul Thani berkata, kumpulan itu telah menyusun strategi untuk mencari peluang yang akan memanfaatkan syarikat penyedia penyelesaian tenaga itu.

“MOPU adalah salah satu daripadanya. Minyak dan gas adalah industri yang besar dan anda perlu tahu di mana anda berada. Kami tidak boleh membelanjakan sumber kesemuanya dan kami perlu selektif di kawasan yang kami ada mengambil bahagian dan pada masa yang sama, kami juga berkeupayaan di situ,” katanya lagi.

Dari segi sejarah, Nik Norzrul menegaskan bahawa T7 Global mampu mendapat kontrak dan berada dalam keadaan untung semasa kejatuhan harga minyak mentah.

“Apa yang lebih penting, kami juga tidak banyak pinjaman. Kami mempunyai sedikit penampan, jadi kami tidak perlu menstruktur semula pembiayaan atau pinjaman kerana kami kurang bergantung kepada hutang. Oleh sebab itu, kami dapat berkembang maju semasa Covid-19,” tambahnya. – Bernama

Sumber