Solusi keharmonian global

Solusi keharmonian global

WORLD #QuranHour (WQH) 1441H melakarkan sejarah apabila Malaysia dan Indonesia bergabung dalam usaha mengQURANkan bangsa dan mengIKHLASkan ummah melalui berinteraksi dengan al-Quran, baca, faham dan amal.

WQH akan berlangsung serentak di seluruh dunia pada esok, 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei ini bermula jam 12 tengah hari dengan membawa misi Surah Ar-Rahman, sebagai solusi mengembalikan keharmonian global, ‘Reboot Global Harmony’.

Program WQH dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan Ar Rahman Quranic Learning Center dari Indonesia.

Ia akan bersiaran secara langsung di TV Alhijrah, RTM, Bernama TV dan Astro Oasis serta di dalam talian di FB Sinar Harian, TV Alhijrah dan Quran Hour.

Pengasas Ar Rahman Quranic Learning dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir berkata, pertama kali dua negara Muslim besar dan terbesar di dunia berkolaboratif dalam program berinteraksi dengan al-Quran.

Jelas beliau, perkara itu memberi gambaran luar biasa bagi umat Islam sedunia dalam membawa mesej penting bahawa Islam itu perdamaian, anti kekerasan, dan penyatuan.

“Program WQH yang memberi impak besar kepada umat Islam, sangat bertepatan pada 10 terakhir di bulan Ramadan, di mana hamba ALLAH mendapatkan pertolongan ALLAH untuk diberi kekuatan, kelembutan hati dan dicurahkan rahmat. Sebagaimana kita ketahui, al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, Indonesia sedang menjalankan kempen WQH di media sosial dan mendapat kerjasama beberapa media nasional, media Islam, para selebriti dan influencer yang sudah berhijrah untuk bergabung bersama kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Empat nikmat terbesar

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Pentadabbur Surah Ar-Rahman di WQH 1441H pada kali ini turut berkongsi kupasan surah ke-55 melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, dalam Surah Ar-Rahman, ALLAH SWT terlebih dahulu memperkenalkan asma-Nya, salah satu daripada Asmaul Husna iaitu Ar-Rahman yang bermaksud Maha Pengasih.

“Setiap Muslim yang bertauhid dalam beragama tiada keraguan, ketakutan dan kecemasan kerana ALLAH memperkenalkan diri-Nya yang Maha Pengasih, rahmanul dunia wa rahimul akhirat. Mereka yakin ALLAH Maha Pengasih kepada semua makhluk-Nya.” katanya.

Bachtiar menjelaskan, terdapat empat nikmat yang disebutkan dalam Surah Ar-Rahman iaitu al-Quran, al-Insan, al-Bayan dan matahari serta bulan.

“Al-Quran merupakan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Al-Quran mengajar manusia mengenai sistem sosial.

“Mereka yang menghayati surah Ar-Rahman dipenuhi rasa cinta, kasih, damai, bersatu dan harmoni dalam bersosial, bermula dengan keluarga, bangsa dan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, kesatuan sosial paling besar adalah masyarakat dunia Islam yang membawa perdamaian.

“Sosial masyarakat yang dibangunkan Islam berpandukan al-Quran adalah masyarakat dunia yang didasari dengan cinta kasih keadilan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding peribadi.

“ALLAH memberi nikmat al-Bayan kepada kita untuk berkomunikasi, berbicara dan memberi penjelasan. Pola komunikasi seorang Muslim dimulakan dengan Bismillah dan diakhiri dengan Alhamdulillah.

“Pertama kali Muslim berkomunikasi dengan memberi salam. Inilah pola komunikasi hamba Ar-Rahman, yang menyebarkan rasa kasih sayang dan mendamaikan.

“Rasulullah SAW menyarankan kita untuk menyebarkan ucapan salam dalam kalangan umat Islam. Pola komunikasi al-Bayan juga membuatkan manusia berkomunikasi dengan alam sekitar dan makhluk lain berdasarkan tauhid, asma’ Ar-Rahman.”

Acara World #QuranHour yang diadakan di Indonesia pada 2017. FOTO: UWIEN BUDI.COM

Acara World #QuranHour yang diadakan di Indonesia pada 2017. FOTO: UWIEN BUDI.COM

Tambah beliau, dari segi fizikal, manusia mendapat kesihatan dan kekuatan tubuh badan untuk memberi manfaat. ALLAH memberi kekuatan kepada manusia terutama energi luar seperti matahari.

Pesanan sejagat Katanya, dalam al-Quran, peribadi seorang Muslim adalah menjaga keseimbangan antara roh dan fizikalnya. Mereka bersyukur kepada Penciptanya dan mampu memberi manfaat secara positif kepada alam.

“WQH menjadi penting dalam menyampaikan pesanan sejagat kepada global melalui Surah Ar-Rahman dalam empat pola iaitu tauhid, sistem sosial, komunikasi dan fizikal berdasarkan nikmat al-Quran, al-Insan, al-Bayan, dan matahari serta bulan.”Bachtiar berkata, hikmah di sebalik Covid-19 yang terbesar adalah rahmat ALLAH. Tidak perlu takut mati kerana tiada hubungan antara kematian dengan virus kerana hidup dan mati di tangan ALLAH.

“Rahmat lain dari segi sosial, manusia dianjurkan menjalani hidup bersih sebagaimana dianjurkan dalam syariat taharah. Antaranya berwuduk, cuci tangan, makan makanan halal dan baik agar daya tahan tubuh badan tidak mudah diserang penyakit.

“Penjarakan sosial secara fizikal dapat menjarakkan perhubungan antara yang mahram dan bukan mahram.

“Antara hikmat besar di sebalik pandemik Covid-19, kita kembali kepada keluarga. Kebanyakan mereka bekerja dari rumah. Jadi mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga.

“Kita juga tidak dapat berjemaah di masjid. Mungkin sebelum ini kita bersolat di masjid dan berkiblat yang satu tetapi perpecahan dalam jemaah masih berlaku. Jadi, inilah masa untuk kita bermuhasabah diri.”

Secara ringkasnya, Bachtiar berkata, Surah Ar-Rahman boleh menjadi solusi keharmonian global atau ‘Reboot Global Harmony’, seterusnya membawa syukur kepada ALLAH SWT. Surah tersebut menggambarkan pelbagai sisi kasih sayang ALLAH dan boleh menjadi panduan hidup bagi Muslim.

Saat ini, masyarakat global kehilangan orientasi kemanusiaan di mana manusia menghambakan sesama manusia. Lebih lagi mereka menghambakan kepada ciptaan manusia sendiri dengan bertuhankan teknologi, wang dan kekuasaan.

Pasti inilah menyebabkan kekacauan global dalam bentuk kesombongan manusia untuk menjadi orang paling berkuasa, penindas yang lemah dan membuat aturan sendiri sehingga dunia menjadi hancur.

“Rasulullah SAW menjadi solusi Rahmatan lil Alamin. Konsep Surah Ar-Rahman sebagai solusi global sosial. Insya-ALLAH, manusia akan menjadi selain menyayangi, menghargai dan menghormati hak-hak orang lain.

“Dalam Surah Ar-Rahman menunjukkan hak manusia dalam beragama, kemanusiaan, kebebasan berbicara dan hak kesaksamaan terhadap sumber daya alam di sesebuah negara seterusnya membawa manusia kepada kesyukuran,” katanya.



Sumber