SISTEM FRANCAIS TEMPATAN BERTARAF DUNIA DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH FRANCAIS MALAYSIA

SISTEM FRANCAIS TEMPATAN BERTARAF DUNIA DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH FRANCAIS MALAYSIA

Anugerah Francais Malaysia 2024 (AFM2024) adalah bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan francais yang berdaya saing dan telah mencapai tahap keunggulan luar biasa hingga ke peringkat global. Persatuan Francais Malaysia (MFA) bakal menganjurkan anugerah terunggul ini pada 29 Mei 2024 ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Meraikan tahun ke-26 penganjurannya tahun ini, AFM2024 disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dengan kerjasama rakan strategik termasuk @ Solve, Bubblebee, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Ayam Penyet Best dan Little Caliph.

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan, berkata anugerah ini cukup berkualiti kerana ianya meniadi penanda aras penting kepada penggiat industri francais bagi mengukur prestasi perniagaan mereka berlandaskan piawaian industri menerusi penilaian yang komprehensif yang meliputi aspek integriti, kelestarian perniagaan, ketangkasan kewangan, inovasi berterusan, impak sosial, dan banyak lagi agar penggiat industri francais Malaysia mencapai taraf dunia.

“Pengiktirafan yang diterima menerusi AFM membolehkan usahawan francais tempatan dikenalpasti sebagai satu sistem yang berdaya saing, berdaya maju, dan berwibawa dalam menjalinkan rantaian perniagaan seta mempunyai potensi yang tinggi dalam mengembangkan perniagaan francais ke peringkat antarabangsa.

Sehingga kini, beberapa Syarikat telah memberi maklum balas yang menggalakkan terhadap pencalonan anugerah ini. MFA menyasarkan lebih 100 pencalonan untuk 21 anugerah dalam 6 kategori yang dipertandingkan,” katanya ketika sesi sidang media AFM2024 di Kuala Lumpur.

Sesi sidang media tersebut turut dianjurkan bersama taklimat anugerah yang telah disampaikan oleh Pengarah AFM2024, Prof. Madya Dr. Mod Hizam Hanafiah. Turut hadir ialah Naib Pengerusi, Tn. Hj. Mohamad Shukri Salleh.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah, AFM2024 turut memperkenalkan anugerah baharu bagi Kategori Francaisi iaitu Best Single-Unit Franchisee of The Year, Best Multi-Unit Franchisee of The Year, Best International Single-Unit Franchisee of the Year dan Best International Multi-Unit Franchisee of The Year. Anugerah baru ini diperkenalkan bagi membuka lebih ramai usahawan francaisi bersaing secara adil dan merangsang amalan terbaik dalam industri francais semasa.

Lebih menarik, kesemua anugerah ini akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang bakal diadakan pada Mei nanti. Penganjurannya di pentas yang lebih berprestii pada tahun ini dengan kehadiran wakil francais daripada serata dunia yang turut menghadiri Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC), berlangsung selama 3 hari bermula 27 hingga 29 Mei 2024.

Pencalonan bagi anugerah ini dibuka kepada semua penggiat francais sama ada ahli atau bukan ahli MA serta organisasi berkepentingan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri francais ini.

Bagi mendapatkan borang pencalonan dan keterangan lanjut berkaitan AFM2024, sila layari www.mfa.org.my/awards. Pencalonan dibuka sehingga 5 April 2024.