SISI RELIGI MADAM & IMAGI MENERUSI ‘DENGAN SEMPURNA’

SISI RELIGI MADAM & IMAGI MENERUSI ‘DENGAN SEMPURNA’

Kuala Lumpur, 4 April 2022 – Sempena bulan Ramadan yang mulia, Rocketfuel Entertainment, label hiburan tanah air yang terkenal, buat pertama kalinya menggabungkan dua kumpulan rock terkenalnya, MADAM dan IMAGI, dalam single dengan idea religi bernama ‘Dengan Sempurna‘, yang digubah oleh Amy Bong dan Haneef Al-Ansari.

“Baru sebulan single Nona dan Merasuk dilancarkan, MADAM dan IMAGI hadir pula dengan single terbaharu bagi meraikan bulan puasa. Jika pada tahun lepas, MADAM pernah muncul dengan single berjudul ‘Kekasihku’, tahun ini kamu menggabungkan dua band rock sekaligus,” kata Putera yang berperan sebagai vokalis MADAM.

Inspirasi kerjasama padu ini tercetus daripada pihak pengurusan Rocketfuel sendiri yang mencari kelainan daripada lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan sebelum ini, selain cara untuk meyambut kedatangan Ramadan tahun ini.

Menurut Haziq, vokalis IMAGI: “Kami ingin mencuba sesuatu yang baharu di maana dua kumpulan rock bergabung dalam sebuah single rock ala religi yang belum pernah dibuat lagi. Selain itu, kami semua dapat bereksperimentasi dalam muzik dan bertukar-tukar pendapat.

Dengan Sempurna lebih berkonsepkan ketuhanan atau agama daripada lagu raya yang sepatutnya, membawa mesej taubat seorang hamba yang mengharapkan keampunan daripada Tuhannya.

“Lagu ini tidak semestinya didengar ketika bulan Ramadan saja, dan boleh didengar pada bila-bila masa. Kami cuma mengambil keberkatan untuk melancarkannya pada bulan yang penuh rahmat ini.

“Dalam hidup, kita harus sedar siapa diri kita yang sebenarnya dan betapa kerdilnya diri ini berbanding kuasa Yang Maha Esa, oleh itu perbanyakkanlah ibadah dan sentiasa muhasabah diri. Lagu ini juga merupakan dakwah kecil dari kami semua,” jelas Azuan, selaku pemain bass MADAM.

Walaupun berwatak religi, lagu Dengan Sempurna mengekalkan konsep pop rock yang menjadi identiti kedua-dua band ini, ia ditonjolkan daripada karya-karya lampau mereka agar lebih ‘mesra’ untuk didengari oleh semua peringkat umur, dan yang paling penting, mesej yang hendak disampaikan dengan cara penulisan lirik menginsafkan.

“Kami mengambil masa lebih kurang seminggu untuk merakamkan masterpiece ini di Alibaba Record & Production, maklumlah ramai pemuzik yang terlibat, namun kami seronok melakukannya kerana banyak idea yang dikongsi bersama selain memupuk rasa ‘ukhwah’ atau kebersamaan sesama kami, kongsi Fitri atau Bob, yang merupakan vokalis dan gitaris IMAGI.

Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Production Rocketfuel Entertainment berkata, “Sebagaimana lazimnya pada setiap tahun, Rocketfuel akan menampilkan pelbagai variasi konsep lagu bersempena bulan puasa. Pada kali ini kami menampilkan MADAM dan IMAGI menerusi kolaborasi unik yang jarang dilakukan mana-mana label di Malaysia.

“Semoga pendengar terhibur dalam beringat melalui single Dengan Sempurna dan selamat berpuasa buat semua umat Islam di seluruh negara.

Ramadan dan raya kali ini akan berbeza setelah fasa Covid-19 berubah ke endemik tiada lagi sekatan merentasi daerah dan negeri, luah Herman, pemain dram MADAM,”Dua tahun berlalu dengan perasaan yang amat suram, dan pada tahun ini In Shaa Allah akan menjadi lebih meriah kerana kita telah memasuki era endemik, walaubagaimanapun kesihatan dan SOP harus diberi keutamaan.

“Kami semua berharap agar single Dengan Sempurna ini dapat memberi manfaat kepada semua pendengar dan lebih melonjakkan lagi nama MADAM dan IMAGI, teruskan menyokong dan memberi semangat kepada kami untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik.

Lagu Dengan Sempurna boleh dimuat turun daripada iTunes dan digunakan sebagai nada dering panggilan oleh semua pembawa telekomunikasi tempatan. Ia juga boleh didengari pada bila-bila masa menggunakan aplikasi penstriman dalam talian termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

MV single ini hanya tersedia secara eksklusif dan boleh ditonton pada akaun YouTube Rocketfuel Network.