Siri baharu HINO 200 dilancar

Siri baharu HINO 200 dilancar

HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) melancarkan model kenderaan baharu, siri HINO 200, tambahan kepada edisi barisan Kenderaan Komersial Ringan (LGV) yang menawarkan prestasi canggih serta saiz ideal.

Pengarah Urusannya, Atsushi Uchiyama berkata, pelancaran siri HINO 200 itu bertepatan dengan hasrat syarikat dalam menyediakan truk yang sesuai dan menepati keperluan pasaran tempatan untuk menyokong perniagaan pelanggan.

Ujar Uchiyama, siri baharu yang didatangkan dengan slogan ‘Just Low, Just Fit’ itu juga sejajar dengan misi Hino iaitu “menjadi syarikat kenderaan komersial yang paling mengutamakan pelanggan dan boleh dipercayai di Malaysia.

“Siri HINO 200 direka untuk kejayaan perniagaan pelanggan kami dan ia dilengkapi dengan ciri seperti akses mudah ke jalan yang lebih kecil atau sempit dan keperluan untuk perubahan dalam industri kenderaan komersial.

“Kenderaan komersial ringan baharu kami, siri HINO 200 adalah salah satu produk kami yang telah kami usahakan untuk mencapai kepuasan pelanggan,” katanya ketika dalam majlis pelancaran Siri HINO 200 di sebuah hotel pada Jumaat.

Ulas Uchiyama, pihaknya menyasarkan penjualan sebanyak 300 unit bagi siri berkenaan pada tahun ini.

Lebih menarik lagi, menurutnya, siri HINO 200 ini adalah yang pertama dalam barisan keseluruhan model yang didatangkan dengan enjin antara penyejukan cas turbo Euro 4 dan keserasian B20 Diesel.

“Siri 200 mempunyai enjin yang senyap tetapi berkuasa pada 144 kuasa kuda brek dan tork 300 Nm.

“Gabungan ini akan menghasilkan kawalan pelepasan yang baik dan pembakaran bahan api yang lebih bersih,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Uchiyama, tarikan utama siri tersebut ialah ketinggian kabin dan dek yang rendah.

Jelasnya, ciri-ciri itu memberikan akses mudah kepada pelanggan untuk memuat dan memunggah kargo mereka.

“Dari segi keselamatan tambahan, ciri keselamatan utama dan asas bagi setiap kenderaan ialah Sistem Brek Antikunci (ABS).

“Sama seperti model HINO yang lain, barisan baharu ini dilengkapi dengan ABS yang menghalang roda terkunci semasa brek berat dan membolehkan sentuhan dikekalkan dengan permukaan jalan dan cengkaman tambahan.

“ABS membantu pemandu kekal mengawal kenderaan untuk mengelakkan halangan di laluannya semasa membrek,” jelasnya.

Sumber