Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS

Ringgit terus meningkat berbanding dolar AS

RINGGIT meneruskan aliran meningkatnya apabila dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan unit negara maju didagangkan dalam sentimen berhati-hati menjelang data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS bagi Ogos yang akan dikeluarkan lewat hari ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.6310/6360 berbanding dolar AS daripada 4.6365/6405 sewaktu ditutup pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, dolar AS ketika ini didagangkan kukuh berbanding euro, manakala ringgit dalam keadaan lega berikutan saluran kadar AS dan langkah-langkah terkini yang diambil dalam sektor hartanah China.

Beliau berkata, langkah pembuat dasar China untuk mengurangkan kadar gadai ganji bagi memulihkan sektor hartanah di negara itu telah mewujudkan sentimen positif kepada pasaran.

“Langkah-langkah ini telah menyebabkan yuan China dan harga minyak diniagakan lebih kukuh, yang memberi kelebihan kepada ringgit. Sementara itu, hasil 10 tahun AS menghampiri paras terendah dalam tempoh dua bulan sebelum NFP AS dikeluarkan. Langkah ini juga dilihat positif kepada ringgit pagi ini.

“Bagaimanapun, dengan NFP AS yang dijangka menimbulkan kebimbangan, terdapat kemungkinan bahawa peningkatan seterusnya diramalkan mencabar menjelang pengeluaran laporan pekerjaan utama,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi Teras (PCE) AS, iaitu ukuran inflasi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) memberikan jangkaan konsensus 4.2 peratus pada Julai (Jun: 4.1 peratus), manakala tuntutan pengangguran purata dalam tempoh empat minggu meningkat secara berperingkat kepada 237,500 minggu lepas berbanding 237,250 pada minggu sebelumnya.

“Ini menunjukkan Fed mungkin terus mengekalkan pendirian yang terbatas dalam mesyuarat akan datang pada September. Bagaimanapun, dari sudut teknikal, ringgit berbanding dolar AS adalah dalam kedudukan terlebih jual dan dalam keadaan sedemikian sejak sekian lama.

“Kami melihat, data dalam keadaan bercampur-campur, tetapi dengan kecenderungan lemah, menggambarkan dasar monetari AS sewajarnya kurang terbatas pada masa depan. Oleh itu, ringgit boleh kekal menghampiri paras sokongan pada RM4.6257,” katanya.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 5.0186/0240 daripada 5.0482/0526 sewaktu ditutup pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.8638/8701 daripada 5.8684/8735, namun menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.1813/1852 daripada 3.1679/1708.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4261/4303 daripada 3.4278/4311 pada penutup Rabu dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 304.0/304.5 daripada 304.1/304.6 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.2133/2329 daripada 13.2094/2268 pada Rabu dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.17/8.18.

Pasaran tempatan ditutup semalam bersempena dengan cuti umum Hari Kebangsaan. – Bernama

Sumber