Ringgit terus catat aliran penurunan berbanding dolar AS

Ringgit terus catat aliran penurunan berbanding dolar AS

Gambar hiasan - Foto Bernama

Gambar hiasan – Foto Bernama

RINGGIT terus mencatatkan aliran penurunan untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Rabu, sejajar dengan mata wang sedang pesat membangun yang lain berikutan kebimbangan mengenai prospek ekonomi global menyebabkan lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.5400/5450 berbanding dolar AS daripada 4.5175/5200 pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan mata wang Asia rendah berbanding dolar AS hari ini, diterajui oleh won Korea berikutan penurunan penarafan oleh Fitch Ratings terhadap kredit berdaulat Amerika Syarikat (AS) yang mendorong kepada penghindaran risiko.

Fitch menurunkan penarafan kredit AS sebanyak satu peringkat daripada peringkat tertinggi AAA kepada AA+, sejajar dengan langkah yang dibuat lebih sedekad yang lepas oleh S&P Global Ratings.

Dalam kenyataan, Fitch berkata, pengurangan cukai dan inisiatif perbelanjaan baharu selain pelbagai kejutan ekonomi telah meningkatkan defisit bajet manakala cabaran jangka sederhana yang berkaitan dengan peningkatan kos kelayakan masih belum ditangani.

“Penurunan penarafan AS mencerminkan tekanan fiskal yang dijangka dalam tempoh tiga tahun akan datang, beban hutang kerajaan yang tinggi dan berkembang serta kemerosotan tadbir urus berbanding rakan setara yang diberi penarafan ‘AA’ dan ‘AAA’ sepanjang dua dekad lepas,” menurut Fitch.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1824/1861 daripada 3.1666/1686 semalam, rendah berbanding euro kepada 4.9831/9886 daripada 4.9584/9612 dan berkurangan berbanding pound kepada 5.7994/8085 daripada 5.7892/7924 sebelum ini.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3944/3984 daripada 3.3872/3893 pada Selasa, bagaimanapun meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.22/8.24 daripada 8.24/8.25 sebelum ini.

Ia berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 299.1/299.6 daripada 298.8/299.1 pada Selasa dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2504/2716 daripada 13.1852/1982 sebelum ini. – Bernama

Sumber