Ringgit rendah berbanding dolar AS pada sesi awal

Ringgit rendah berbanding dolar AS pada sesi awal

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kekurangan minat belian. Foto 123RF

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kekurangan minat belian. Foto 123RF

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kekurangan minat belian, kata peniaga.

Pada 9.18 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4795/4835 berbanding dolar AS daripada 4.4655/4675 pada Jumaat.

Dalam nota penyelidikan, Kenanga Research berkata, unit tempatan mungkin bergelut untuk mengekalkan momentum meningkatnya berbanding dolar AS berikutan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan pendirian kadar faedah tinggi pada simposium Jackson Hole pada Jumaat lepas.

Selain itu, katanya, kemerosotan terkini euro berbanding dolar AS, selain prospek ekonomi China yang merosot mungkin memberi tekanan luaran kepada unit tempatan.

“Bagaimanapun, ringgit dijangka terus mendapat manfaat daripada harga komoditi yang tinggi dan tebaran hasil bon kerajaan Malaysia-AS yang positif,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.4499/4539 daripada 4.4668/4688 pada Jumaat dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2026/2059 daripada 3.2140/2159 sebelum ini.

Ia turut naik berbanding pound kepada 5.2321/2367 daripada 5.2831/2855 minggu lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2387/2419 daripada 3.2619/2636 pada Jumaat. – Bernama


Sumber