Ringgit pulih untuk ditutup tinggi

Ringgit pulih untuk ditutup tinggi

RINGGIT pulih untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini dalam mod berhati-hati menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan lewat hari ini, kata seorang ahli ekonomi.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.6265/6320 berbanding dolar AS 4.6335/6385 ketika ditutup semalam.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran ingin mendapatkan penjelasan mengenai kemungkinan peralihan dalam pendirian monetari yang masih kabur.

“Mata wang tempatan dilihat disokong dengan baik kerana mod menghindar daripada risiko terus berlarutan berikutan pemotongan kadar oleh Bank Rakyat China (PBoC) semalam,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa trend inflasi yang makin mereda dilihat semakin ketara, menjadikan peralihan dalam pendirian monetari secara global semakin meningkat.

Ini berlaku selepas Reserve Bank of New Zealand mengekalkan kadar dasarnya pada 5.50 peratus, mengekalkan status quo untuk bulan kedua berturut-turut, manakala indeks harga pengguna United Kingdom turun pada 6.8 peratus pada Julai daripada 7.9 peratus sebelumnya.

“Justeru, dijangkakan dolar AS berbanding ringgit kekal lemah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.1782/1822 daripada 3.1830/1867 pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0549/0609 daripada 5.0690/0745, tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.9020/9090 daripada 5.8966/9030 semalam.

Pada masa yang sama, unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.0777/0995 daripada 13.0908/1105 semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4086/4132 daripada 3.4155/4197 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.20 daripada 8.15/8.16 pada Selasa dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 302.7/303.2 daripada 301.9/302.4 semalam. – Bernama

Sumber