Ringgit mungkin diniagakan antara RM4.57 dan RM4.60 minggu depan

Ringgit mungkin diniagakan antara RM4.57 dan RM4.60 minggu depan

RINGGIT berkemungkinan kekal dalam julat kecil RM4.57 hingga RM4.60 berbanding dolar AS minggu depan berikutan pasaran global menunjukkan dolar AS yang lebih kukuh, kata seorang penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran kewangan kelihatan bimbang mengenai prospek pertumbuhan global apabila China melaporkan penurunan dalam eksport mereka selama tiga bulan berturut-turut dan indeks harga pengguna (CPI) pula negatif minggu ini.

Selain itu, beliau berkata, isyarat daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih berbelah-bahagi dengan beberapa pegawai yang cenderung kepada kadar faedah yang lebih tinggi untuk jangka masa lama.

Dengan itu, data dari China sepatutnya akan terus menjadi tumpuan pada minggu depan, kata Mohd Afzanizam.

Data mengenai jualan runcit, Pengeluaran Perindustrian (IP), dan Pelaburan Aset Tetap (FAI) akan menjadi tumpuan utama untuk mengukur kesihatan ekonomi China, katanya.

“Pada masa ini, paras sokongan dan rintangan bagi dolar AS/ringgit (USD/MYR) terletak di antara RM4.5491 dan 4.6257.

“Ada kemungkinan ringgit boleh meningkat memandangkan penunjuk teknikal menunjukkan ringgit sudah berada pada kedudukan terlebih jual, dan USD/MYR mungkin terus kekal dalam julat yang ketat kerana peserta pasaran pertukaran asing telah mengelak risiko, yang membawa kepada permintaan lebih tinggi untuk dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Hong Leong Research, dalam nota kajiannya, berkata dolar AS diniagakan lebih tinggi untuk minggu kedua berturut-turut, meningkat 0.3 peratus minggu ke minggu selepas pengeluaran perindustrian Malaysia bagi Jun menguncup lebih daripada jangkaan, mengukuhkan lagi ekonomi yang dijangka perlahan.

Sementara itu, ringgit bercampur-campur berbanding mata wang utama dan mata wang Asia.

“Tumpuan akan diberikan kepada pilihan raya negeri dan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua pada 18 Ogos, yang mana kami menjangkakan pertumbuhan berkurang separuh daripada 5.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

“Prestasi ringgit USD/MYR juga akan melihat kepada USD berbanding Renminbi dan hala tuju USD secara umum bagi mendapatkan petunjuk,” tambahnya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS kepada 4.5865/5895 daripada 4.5515/5565 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding pound Britain kepada 5.8230/8268 daripada 5.7836/7899 pada Jumaat sebelumnya, susut berbanding euro kepada 5.0351/0384 berbanding 4.9816/9871 tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1712/1735 daripada 3.1898/1935 sebelum ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3967/3991 daripada 3.3891/3933 pada minggu sebelumnya dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.6 daripada 299.9/300.5.

Ia lebih baik berbanding baht Thailand kepada 13.0737/0871 daripada 13.0835/1043 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.16/8.17 pada Jumaat lepas. – Bernama

Sumber