Ringgit lonjak 700 peratusan mata berbanding dolar AS

Ringgit lonjak 700 peratusan mata berbanding dolar AS

RINGGIT kekal tinggi berbanding dolar AS bagi hari ketiga berturut-turut dengan data inflasi Amerika Syarikat (AS) menjadi pemangkin utama kepada prestasi mata wang tempatan itu pada pada Khamis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan melonjak 700 peratusan mata (pip) kepada 4.5800/5845 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6500/6535 pada Rabu.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Jun 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan membayangkan kemungkinan peralihan dalam pendekatan dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).

Menurut laporan berita, IHP AS hanya meningkat tiga peratus pada Jun 2023 berbanding empat peratus pada Mei, rendah sedikit dibawa jangkaan pasaran pada 3.1 peratus.

“Ringgit mencatatkan lantunan semula hari ini dengan kadar dolar AS/ringgit melepasi paras sokongan segera pada RM4.6257. Pemulihan itu tepat pada masa kerana ringgit telahpun berada dalam kedudukan terlebih jual untuk satu tempoh yang sama.

“Paras sokongan segera seterusnya dijangkakan pada RM4.5491,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, halangan seterusnya bagi ringgit adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) pada 26-26 Jun.

“Penilaian terkini mereka bersama kenyataan FOMC akan menjadi pemacu utama bagi peningkatan seterusnya ringgit pada masa depan,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 5.1168/1218 daripada paras penutup 5.1262/1300 pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.9861/9919 daripada 6.0120/0165 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3069/3103 daripada 3.3300/3327.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2481/2673 daripada paras penutup 13.3173/3338 pada Rabu, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4553/4590 daripada 3.4753/4782, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 305.9/306.4 daripada 308.4/308.8 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.41 daripada 8.46/8.47.- Bernama

Sumber