Ringgit kembali mengukuh – Sinar Harian

Ringgit kembali mengukuh – Sinar Harian

NILAI ringgit meningkat kembali selepas mencatatkan kerugian selama seminggu.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.6730/6780 berbanding dolar AS daripada 4.6755/6795 pada penutup Khamis.

Sementara itu Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penunjuk pasaran buruh Amerika Syarikat terkini terus menunjukkan ekonomi negara itu yang menggalakkan.

Tuntutan pengangguran awal turun menjadi 216,000 minggu lepas berbanding minggu sebelumnya 229,000, manakala tuntutan berterusan turut merosot kepada 1.679 juta, jauh di bawah unjuran konsensus 1.719 juta.

Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) telah melonjak kepada 105.059 mata, dengan dolar AS mendapat permintaan tinggi kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan pendiriannya terhadap kenaikan kadar faedah.

“Mungkin terdapatnya campur tangan yang telah membantu melonjakkan ringgit lebih tinggi pagi ini.

“Namun begitu, penunjuk teknikal seperti Indeks Kekuatan Relatif (RSI) bagi ringgit berada dalam keadaan terlebih jual dan ringgit boleh kekal lemah sekitar RM4.67 hingga RM4.69 (berbanding dolar AS),” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.0062/0115 daripada penutup Khamis pada 5.0093/0136 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.8356/8419 daripada 5.8289/8339 dan berbanding yen Jepun pada 3.1774/1810 daripada 3.1707/1736 sebelumnya.

Berbanding mata wang ASEAN yang lain, ringgit didagangkan bercampur-campur.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4249/42895 daripada 3.4270/4305 dan lebih tinggi berbanding rupiah Indonesia pada 304.8/305.3 daripada 305.0/305.4.

Mata wang tempatan lemah berbanding baht Thai kepada 13.1378/1571 daripada 13.1301/1469 dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.23/8.25 daripada 8.23/8.24 sebelumnya. – Bernama

Sumber