Ringgit diunjur sekitar 4.4275-4.4575 minggu depan

Ringgit diunjur sekitar 4.4275-4.4575 minggu depan

RINGGIT dijangka diniagakan dalam lingkungan 4.4275 hingga 4.4575 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan yang juga julat lebih luas berikutan ketidaktentuan pasaran.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka lebih pada kedudukan bertahan dalam minggu depan kecuali data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) AS menunjukkan penurunan.

“Namun, jika data tersebut lebih tinggi daripada dijangkakan, ini akan mendorong pengukuhan dolar AS pada minggu depan dan hanya menjejaskan mata wang Asia termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, data PCE itu juga dijangka akan menjadi asas bagi hala tuju kadar faedah dalam mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 22 Mac ini.

Pada minggu yang baru berakhir, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding dolar AS susulan kebimbangan mengenai keputusan Fed mengenai kadar faedah, peningkatan hasil Perbendaharaan negara maju itu serta penurunan harga minyak mentah.

Malah, ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS berikutan kekurangan momentu belian dan seiring dengan kelemahan sentimen mata wang Asia yang lain.

Bagi asas mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.4335/4370 semalam berbanding 4.4310/4345 pada seminggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lainnya berbanding minggu sebelum ini.

Unit tempatan itu susut berbanding pound Britain pada 5.3308/3350 daripada 5.2919/2961 dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2970/3001 daripada 3.3062/3093.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6933/6970 daripada 4.7137/7174 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.2804/2833 daripada 3.2864/2892. – Bernama

Sumber