Ringgit diunjur berlegar pada paras semasa minggu depan

Ringgit diunjur berlegar pada paras semasa minggu depan

Ringgit berkemungkinan kekal pada paras semasa iaitu 4.66 hingga 4.68 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan

Ringgit berkemungkinan kekal pada paras semasa iaitu 4.66 hingga 4.68 berbanding dolar AS. – Gambar hiasan

RINGGIT berkemungkinan kekal pada paras semasa berbanding dolar AS, pada paras 4.66 hingga 4.68, memandangkan dasar monetari akan terus menjadi tumpuan utama pada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu depan.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit berkemungkinan mengekalkan hala tujunya, yang mana ia akan kekal lemah kerana Fed dijangka mengekalkan pendirian monetarinya yang ketat.

Selain itu, harga minyak mentah yang lebih tinggi seolah-olah menunjukkan inflasi mungkin mengambil sedikit masa untuk susut ke arah sasaran dua peratus, yang memerlukan pengekalan kadar faedah yang tinggi sebagai penanda aras.

Majlis pentadbiran Bank Pusat Eropah (ECB) akan bermesyuarat pada Khamis minggu depan dengan konsensus bahawa tidak akan ada perubahan dalam kadar dasar.

“Ringgit berada dalam keadaan terlebih jual, dan pendirian monetari yang ketat telah pun memberi kesan yang dijangkakan.

“Ia mungkin memerlukan maklumat baharu untuk terus melemah lagi. Oleh itu, sehingga Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bersidang semula pada 19-20 September, ringgit boleh berlegar di antara RM4.66 hingga RM4.68 berbanding dolar AS minggu depan,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih rendah berbanding dolar AS kepada 4.6745/6795 daripada 4.6445/6485 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun, diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8352/8414 daripada 5.8878/8929 pada Jumaat sebelumnya, naik berbanding euro kepada 5.0031/0085 daripada 5.0388/0432 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1741/1777 daripada 3.1939/1968 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4277/4312 daripada 3.4386/4418 seminggu sebelumnya dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1591/1787 daripada 13.2677/2852 pada Jumaat sebelumnya.

Ia lemah berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.21/8.22 minggu lepas dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 304.9/305.4 daripada 304.6/305.1. – Bernama

Sumber